TERBUKA HATI KAHWIN LAGI – MAS IDAYU AKUI TAK MUDAH CARI CALON, TOLAK SUAMI ORANG

Hebahkan !!!

“Berbelas tahun hidup solo tanpa teman hidup, tahun lepas hati saya terbuka untuk ada seseorang yang akan menemani hari tua… terdetik di hati saya untuk menerima lelaki dalam hidup,” tutur penyanyi dangdut Mas Idayu yang memberitahu hatinya kini sudah terbuka untuk mencari teman hidup, selepas 15 tahun memegang status ibu tunggal.

Meskipun masih belum mempunyai calon suami yang sesuai, Mas Idayu atau nama sebenar Masidayu Mesnun, 49, berkata dia sudah bersedia untuk kembali bergelar isteri.

“Tapi buat masa ini sejujurnya saya memang masih belum jumpa, tak tahulah siapa bakal jodoh itu, mungkin mereka tak berani nak berkawan dengan saya.

“Orang selalu tengok karakter saya di televisyen nampak garang dan bengis tapi kalau orang yang kenal saya secara peribadi mereka tahu saya bukan begitu,” katanya.

Dalam pada itu, penyanyi lagu ‘Robek Hatiku’ ini berkata dia enggan terlalu berharap, sebaliknya menyerahkan kepada Allah SWT untuk menentukan yang terbaik dalam hidupnya.

“Bukan senang nak memilih lelaki menjadi suami, banyak yang kita kena pertimbangkan… cuma ada masa saya jadi takut sampai rasa was-was apabila ada orang nak kenal. Terfikir seriuskah dia?

“Saya tak kisah mengenai latar belakang bakal suami, asalkan masing-masing ada keserasian dan memahami… yang paling penting dia bukan suami orang! Kalau lelaki itu orang seberang (Indonesia) pun saya okay sahaja.

“Bukan mudah nak fikir tentang jodoh, jadi jalan terbaik saya serahkan kepada Allah! Malah dalam doa pun saya selalu minta supaya jika ada jodoh lagi temukan la dengan seorang lelaki yang benar-benar sesuai untuk menemani hari tua nanti,” ujarnya.

Untuk makluman, Mas Idayu pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon Aman Graseka pada 1997, namun berpisah pada 2006. Mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan iaitu Nur Dayini Ashiqah yang kini berusia 23 tahun.

AZIRA SHAFINAZ BERHASRAT BERHIJAB

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *