Tak perlu maaf, takrif “keling” DBP tak hina kaum India, KP jawab pemimpin DAP

Hebahkan !!!

PETALING JAYA: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tidak akan memohon maaf kepada masyarakat India berhubung takrif “keling” dalam kamusnya, kerana ia tidak membawa sebarang maksud menghina.

Ketua Pengarah Abang Salehuddin Abang Shokeran berkata ada larangan mengenai perkataan itu dalam kamus edisi terbaharunya, manakala penakrifan “keling” merujuk kepada nilai sejarah perkataan itu.

“Kamus ini tidak ada niat sama sekali bertujuan menghina rakan-rakan kita yang berketurunan India. Seperti yang saya tegaskan sebelum ini, DBP dan masyarakat sepatutnya menggelakkan diri daripada menggunakan kata ‘keling’ ini dalam ayat pada masa sekarang,” katanya kepada FMT.

Abang Salehuddin berkata setiap kata ada nilai sejarah, sosial, dan budaya; dan kamus merakam sejarah itu walaupun nilai sosial dan budaya berubah.

Namun, kata-kata yang boleh mencetuskan kontroversi perlu dilabelkan sebagai peringatan kepada kesan penggunaannya.

Abang Salehuddin menambah kewujudan perkataan “keling” dalam kamus DBP tidak bererti ia boleh digunakan oleh mana-mana pihak kerana ia menyinggung perasaan.

“Ubahlah kata ‘keling’ itu kepada kata ‘India’. Untuk apa kita menggunakan kata yang menyakitkan hati orang lain.

“Dalam Islam, kita juga dianjurkan untuk memanggil nama seseorang dengan nama yang baik-baik dan yang disukainya,” katanya.

Beliau memberikan contoh “keling” dalam hikayat Melayu lama kebanyakannya merujuk kepada kebesaran dan kegagahan bangsa itu.

“Dahulu kata ini (keling) tidak membawa sebarang maksud negatif, tetapi sekarang, dalam masyarakat kita, nilai itu telah berubah. Apabila nilai itu berubah, DBP memberikan perhatian terhadap isu ini,” tambahnya.

FMT hari ini melaporkan, pemimpin DAP, P Ramasamy, menghentam DBP kerana tidak memohon maaf atau sesal berhubung perkataan “keling” dalam kamus.

Perkataan itu, yang digunakan bagi menggambarkan seseorang yang berketurunan India, amat menyinggung masyarakat itu.

Isu itu muncul selepas tangkap layar halaman kamus dalam talian DBP tular baru-baru ini. Halaman itu memaparkan perkataan “keling” dalam takrif bagi perkataan “tambi”.

APAPUN ALIRAN DALAM UMNO, MESTI BERPANDU KEPUTUSAN PARTI – Shahril Hamdan

Leave a Reply