‘Merisik madu buat suamiku’

Hebahkan !!!


© Provided by Harian Metro SARIFAH Salmah (kiri) dan Nur Elyana Aleeya memakai persalinan pengantin warna sedondon. FOTO ihsan… redzuan.muharam

Kuala Lumpur: Bukan hanya sanggup berkongsi kasih malah Sarifah Salmah Tuan Embong yang menyatukan suami, Saiful Abdul Satar, 34, dengan madunya, Nur Elyana Aleeya Mysara Shah Rizan.

Kisah pasangan itu mendapat perhatian warganet selepas Nur Elyana, 18, berkongsi video dan gambar perkahwinannya di TikTok baru-baru ini .

Menerusi video itu, kelihatan Nur Elyana dan Sarifah, 26, duduk berdua di pelamin dengan memakai persalinan pengantin sedondon berwarna hijau.

Berkongsi kisah, Sarifah yang menetap di Kampung Bahagia, Mersing, Johor mengakui dia yang meminta suaminya berkahwin dengan Nur Elyana.

Katanya, semua itu dilakukan demi kebahagiaan suaminya yang inginkan lagi zuriat namun sukar ditunaikan kerana dia berisiko tinggi untuk hamil selepas mengalami keguguran anak kedua pada 2019.

“Yaa (nama gelaran Nur Elyana) bukan lagi asing bagi saya dan suami kerana dia adalah pengasuh anak (Amir Malik Saiful, 7) dan tinggal bersama kami sejak empat tahun lalu.

“Malah, hubungan kami tidak seperti majikan dan pekerja kerana saya sudah menganggapnya seperti adik sendiri.

“Anak saya juga rapat dengannya jadi sebab itu saya tidak kisah terima Yaa sebagai madu, bukan wanita lain kerana sudah kenal lama dengannya,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurutnya, suaminya terkejut selepas dia menyuarakan hasrat berkenaan.

Bagaimanapun, Sarifah berkata, keputusan itu yang terbaik buat mereka kerana dia tahu suaminya sudah lama menyimpan keinginan untuk menambah zuriat.

“Saya sudah berbincang dengan keluarga sebelum membuat keputusan itu dan mereka terima selepas saya jelaskan alasannya.

“Malah, saya sendiri yang pergi merisik Yaa di rumah keluarganya dekat Felda Kerteh, Paka Terengganu pada 1 Januari lalu dan mendapat restu kedua ibu bapanya.

“Jujurnya, saya gembira melihat mereka disatukan kerana selama ini Yaa yang menemani saya dan anak ketika suami tidak pulang disebabkan ada kerja di luar kawasan, jadi saya percaya dia wanita yang baik dan mampu menggalas tugas sebagai isteri walaupun masih muda,” katanya.

Sementara itu, Nur Elyana berkata, dia tidak sangka hubungan dengan Saiful yang dianggap majikan dan abang berakhir sebagai suami isteri pada 18 Mac lalu selepas dinikahkan di Pejabat Kadi Daerah Mersing, Johor.

“Terkejut juga ketika Kak Sa (nama gelaran Safirah) suarakan hasratnya untuk melihat saya berkahwin dengan suaminya.

“Namun, saya bincang dengan keluarga terlebih dulu dan Alhamdulillah, mereka restui perkahwinan itu.

“Ini yang dinamakan jodoh dan sebagai isteri kedua, saya sedia beralah dengan Kak Sa dan tiada masalah sesuaikan diri kerana sudah lama tinggal bersamanya.

“Malah, saya yang ajak Kak Sa pakai baju pengantin warna sedondon kerana mahu meraikan hari bahagia dengannya,” katanya.

[VIDEO] ZARINA & PEMBANTU PADAM SENDIRI KEBAKARAN: “NAK PANGGIL BOMBA TAKUT TAK SEMPAT…”

Leave a Reply