Tunjuk perasaan di Bangkok bertukar ganas

Hebahkan !!!

21/03/2021 12:25 AM

BANGKOK, 20 Mac — Tunjuk perasaan antikerajaan di Thailand bertukar ganas apabila polis melepaskan tembakan meriam air, gas pemedih mata dan peluru getah bagi menyuraikan orang ramai yang berhimpun berhampiran Istana Besar di Bangkok pada Sabtu malam.

Media tempatan melaporkan bahawa kira-kira 30 orang mengalami kecederaan dan sekurang-kurangnya lima orang telah ditahan.

Terdahulu, para penunjuk berhimpun di Sanam Luang, yang juga dikenali sebagai Padang Diraja berhampiran Istana, untuk menerbangkan layang-layang tertera imej pemimpin tunjuk perasaan yang telah dipenjara.

Bagaimanapun, beberapa pergelutan berlaku semasa penunjuk perasaan membuang kontena kapal yang menghalang mereka daripada berarak ke Istana.

Mereka turut melempar botol air dan objek ke arah polis rusuhan yang berada di belakang kontena kapal.

Polis rusuhan kemudian melepaskan tembakan meriam air dari belakang kontena kapal untuk menyuraikan mereka.

Polis rusuhan dengan pelindung dilihat menolak penunjuk perasaan antikerajaan dan menghalang mereka daripada menghampiri Istana Besar.

Keadaan menjadi semakin kecoh apabila berlaku pergelutan antara polis dan penunjuk perasaan.

Penunjuk perasaan antikerajaan berhimpun bagi menuntut polis membebaskan pemimpin mereka yang didakwa mengikut Seksyen 112 Kanun Keseksaan negara itu, juga dikenali sebagai lèse-majesté, kerana menghina monarki.

Selain itu, tunjuk perasaan tersebut turut diadakan selepas parlimen yang bersidang minggu ini gagal meluluskan rang undang-undang bagi meminda perlembagaan iaitu antara tuntutan penunjuk perasaan.

Sejak pertengahan Julai tahun lepas, penunjuk perasaan antikerajaan telah berhimpun di Bangkok dan bandar lain untuk mengulangi tuntutan mereka terhadap perubahan politik termasuk pengunduran perdana menteri, pembubaran parlimen, pindaan perlembagaan dan reformasi monarki.

— BERNAMA

KETIADAAN PU RIZ DI PERNIKAHAN NOOR NABILA – NETIZEN TERTANYA-TANYA

Leave a Reply