FARAWAHIDA KONGSI KISAH DETIK PERTEMUAN DENGAN SUAMI BARU

Hebahkan !!!

   

“Kami sebaya dan dia berasal dari Melaka. Kami berkenalan di gelanggang badminton. Pada Oktober lalu, baru saya tahu yang dia bermain untuk kumpulannya. Kami bermain dalam pasukan sama sejak dua tahun lalu. Saya pernah juga beregu dengan dia, tapi ketika itu berkenalan biasa saja. Tidak ada pun nak sembang, mesej atau telefon sebab dua-dua jenis berat mulut.

“Pada awalnya, saya tidak mengesyaki apa-apa. Hubungan kami lebih kepada rakan riadah. Suami tidak banyak cakap. Saya pula sejak kembali solo, malas hendak mencari pengganti.

“Tidak sangka dia menyimpan perasaan dalam diam. Saya pernah memuat naik foto dirinya dan teman lain ketika bermain badminton. Namun, tidak dihidu sesiapa. Kami mula rapat sejak akhir tahun lalu,” katanya.

“Kami betul-betul berkenalan ketika dia menghantar video di Instagram iaitu pada Disember tahun lalu. Dari situ, baru ada sesi berkenalan secara lebih dekat. Daripada pengalaman masing-masing, saya janda dan dia duda, Insya Allah kami cuba belajar dan saya berasakan ada keserasian antara kami.

“Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu, ia membataskan kami untuk mengenali keluarga masing-masing. Jadi, kami buat panggilan video saja. Mana-mana keluarga yang ada di Kuala Lumpur kita bawa berjumpa.

“Kami memang tak boleh jumpa ibu bapa masing-masing kerana mereka berada di Taiping dan Melaka. Namun, mungkin inilah jodoh. Alhamdulillah, semuanya dipermudahkan,” jelas penyanyi Farawahida yang mengaku sukakan lelaki sederhana dan tidak ‘bising’ atau ‘loud’.

Berita pernikahan kedua Farawahida dengan pilihan hatinya, Zulkifli Alias, 36, yang juga pegawai kerajaan di Masjid Daerah Taiping, Perak, kira-kira jam 10.40 pagi semalam telah mengejutkan ramai pihak terutama dalam kalangan peminat. Apatah lagi sebelum ini tidak ada sebarang khabar atau pengesahan mengenai perkahwinan terdahulu.

Farawahida atau nama sebenarnya Farawahida Razali ketika dihubungi mengakui sudah bercerai dengan suami terdahulu, Abdul Shukor Mohd Zain pada April tahun lalu selepas tujuh tahun berkahwin iaitu pada 16 Disember 2013. Namun, mereka tidak dikurniakan cahaya mata.

“Kalau boleh saya tidak mahu lagi bercerita mengenai yang lepas. Cuma, ingin dijelaskan saya sudah bercerai sejak tahun lalu. Saya fikir kisah perkahwinan lalu usah diungkit lagi. Tiada jodoh antara saya dan bekas suami. Kami berpisah cara baik sejak setahun lalu,” katanya.

Berkongsi mengenai perkahwinan kedua itu, Farawahida berkata, dia mula mengenali Zulkifli yang juga duda anak tiga dengan lebih mendalam hujung tahun lalu. Farawahida berkata, mengikut perancangan asal mereka mahu bernikah pada Ogos depan.

Terdahulu, sehari sebelum diijab kabul, Farawahida dan Zulkifli mengikat tali pertunangan pada majlis secara sederhana dan hanya dihadiri keluarga kedua-belah pihak di D’Studio Homestay Changkat Jering, Taiping.

Pada majlis itu Farawahida menerima dua bentuk cincin (merisik dan bertunang), lima dulang hantaran dan dibalas dengan tujuh dulang. Kemudian, pasangan itu selamat dinikahkan oleh Imam & Penolong Pendaftar Nikah Daerah Taiping, Mohd Ghazali Azidin dengan hanya sekali lafaz di Masjid Daerah Taiping, Perak, semalam. Mas kahwin adalah senaskhah Al-Quran.

“Jika mengikut perancangan awal, kami mahu bernikah Ogos depan. Namun, keputusan dibuat untuk mempercepatkannya. Selepas bernikah, kami anjurkan majlis resepsi dengan mengundang 100 tetamu,” tuturnya.

FOTO DIAPIT KAKAK & ABANG IPAR – NEELOFA DITEGUR

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *