Lelaki berpangkat Datuk didakwa lupus, pindah, terima wang lebih RM8 juta

Hebahkan !!!

 

KUALA LUMPUR, 19 Mac — Seorang lelaki berpangkat Datuk dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 16 pertuduhan melupuskan, memindahkan dan menerima wang yang merupakan hasil daripada aktiviti haram berjumlah lebih RM8 juta.

Datuk Ahmad Azwan Aboo Mansoor, 51, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Hasbullah Adam.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketujuh, tertuduh didakwa telah melupuskan wang berjumlah RM815,863.06 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram daripada akaun simpanan bank miliknya di Bank Islam Malaysia Berhad, Cawangan Taman Melawati di sini antara April 2016 hingga April 2018.

Ahmad Azwan turut berdepan lima pertuduhan memindahkan wang berjumlah RM3,020,299.98 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram daripada akaun simpanan bank miliknya ke dalam satu lagi akaun banknya dan dua akaun bank masing-masing milik seorang lelaki dan sebuah syarikat pada tempat sama antara 11 Jun 2016 hingga 20 Dis 2017.

Dia juga didakwa atas empat pertuduhan menerima wang berjumlah RM4,180,396.59 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram ke dalam dua akaun simpanan bank milik tertuduh di Bank Islam Malaysia Berhad, Cawangan Taman Melawati dan Malayan Banking Berhad, Cawangan Taman Setiawangsa di sini antara 10 Dis 2016 hingga 9 Mac 2018.

Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rohaiza Zainal manakala tertuduh diwakili peguam Harjinder Singh.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 22 April ini untuk sebutan semula kes.

— BERNAMA

Shahidan cabar Umno, nak buang Perlis, buanglah

Leave a Reply