Kabinet putuskan penganut Kristian dibenar guna kalimah Allah pada Mei 1986 – Hakim

Hebahkan !!!

KUALA LUMPUR, 19 Mac — Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa penganut Kristian boleh menggunakan empat perkataan Bahasa Arab termasuk kalimah Allah dalam penerbitan mereka dengan syarat di luar kulit muka depan buku-buku itu ditulis perkataan ‘Untuk agama Kristian.’

Dalam penghakiman setebal 96 muka surat, Hakim Datuk Nor Bee Ariffin berkata keputusannya yang menyaksikan penganut Kristian di seluruh negara boleh menggunakan kalimah Allah, Baitullah, Kaabah dan solat dalam penerbitan agama mereka bagi tujuan pendidikan adalah berdasarkan polisi kerajaan pada Mei 1986.

Beliau berkata Kabinet telah mengeluarkan keputusan berkaitan polisi itu pada Mei 1986 berdasarkan satu nota oleh Tun Abdul Ghafar Baba, yang merupakan Timbalan Perdana Menteri (TPM) ketika itu, kepada Kementerian Dalam Negeri.

“Bahasa yang jelas dan mudah dalam nota TPM itu, pada pandangan saya, membawa maksud bahawa 12 perkataan boleh digunakan tanpa syarat manakala empat lagi (Allah, Baitullah, Kaabah dan solat)  tidak boleh digunakan namun ia masih boleh digunakan dengan syarat tujuan penggunaannya dinyatakan di luar kulit muka depan penerbitan seperti ditulis perkataan Untuk agama Kristian,” katanya.

Hakim itu berkata bagaimanapun, pada 5 Dis 1986, satu arahan telah dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri kepada semua penerbitan agama Kristian bahawa penggunaan keempat-empat perkataan adalah dilarang sama sekali.

“Antara sebab larangan empat perkataan tersebut adalah untuk mengelakkan berlakunya sebarang salah faham di antara penganut Islam dengan penganut Kristian yang boleh mengancam keselamatan dan ketenteraman awam serta menimbulkan sensitiviti keagamaan di kalangan rakyat Malaysia,” katanya.

Nor Bee berkata berdasarkan arahan inilah Tan Sri Syed Hamid Syed Jaafar Albar yang merupakan Menteri Dalam Negeri ketika itu telah mengesahkan satu afidavit bagi menyokong hujah kementerian itu bagi melarang wanita suku kaum Melanau dari Sarawak yang beragama Kristian Jill Ireland Lawrence Bill menggunakan kalimah Allah.

“Kementeriannya, yang ditugaskan mengawal selia percetakan dan penerbitan, memikul tanggungjawab melaksana dan menguat kuasa undang-undang serta polisi kerajaan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301).

“Pada pandangan saya, berdasarkan surat Perdana Menteri ketika itu (Tun Dr Mahathir Mohamad) dan nota Allahyarham Tun Ghafar Baba, keputusan polisi Kabinet tidak menyatakan larangan sepenuhnya berhubung penggunaan keempat-empat perkataan.

“Ia berlaku disebabkan arahan yang bercanggah. Arahan bercanggah itu, pada pendapat saya, hanyalah satu arahan kendiri yang dikeluarkan oleh Bahagian Kawalan Penerbitan kementerian terbabit,” katanya.

Hakim itu juga menegaskan bahawa jika keputusan polisi Kabinet dilaksanakan dengan betul, wajar dan sah berdasarkan undang-undang yang sesuai di bawah tanggungjawab Kementerian Dalam Negeri, prosiding semakan kehakiman ini mungkin tidak akan berlaku.

Pada 10 Mac lepas, Nor Bee memutuskan bahawa penganut Kristian di seluruh negara boleh menggunakan kalimah Allah, Baitullah, Kaabah dan solat dalam penerbitan keagamaan mereka bagi tujuan pendidikan selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman Jill Ireland.

Isnin lepas, kerajaan telah memfailkan rayuan terhadap keputusan itu di Mahkamah Rayuan.

— BERNAMA

Shahidan cabar Umno, nak buang Perlis, buanglah

Leave a Reply