JDT perluas jenama, lancar pasukan hoki ais

Hebahkan !!!
20/03/2021 02:39 AM

ISKANDAR PUTERI, 19 Mac — Kelab Johor Darul Takzim (JDT) hari ini melancarkan Pasukan Hoki Ais JDT dalam usaha menerokai pelbagai sukan lain, selain bagi menghadapi saingan liga hoki ais tempatan.

Pemilik JDT Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata penubuhan pasukan tersebut merupakan strategi JDT dalam meningkatkan mutu sukan berkenaan selain memperluaskan penjenamaan kelab tersebut di peringkat antarabangsa.

“Barisan pemain akan terdiri daripada warga tempatan dari seluruh negara manakala tenaga pakar pasukan mungkin melibatkan individu dari luar negara.

“Kami hendak melebarkan jenama JDT yang sukan ini sangat popular di Amerika Syarikat, Kanada dan Eropah Timur, jadi ia seperti mencapai dua perkara yang berbeza pada masa yang sama, iaitu kami boleh meningkatkan sukan tersebut di negara ini,” kata Tunku Ismail pada sidang media di Ibu Pejabat JDT, di sini hari ini.

Menurut Tunku Ismail, pasukan hoki ais JDT terdiri daripada 10 pemain bagi pasukan senior dan junior yang telah berkecimpung dalam sukan itu sejak enam tahun lalu.

Sebuah gelanggang hoki ais dan fasiliti sukan berkenaan akan didirikan di Iskandar Puteri, melibatkan anggaran kos sekitar RM8 hingga RM9 juta, kata Tunku Ismail.

Pasukan hoki ais JDT akan menyertai saingan liga tempatan yang dijangka berlangsung pada pertengahan tahun ini. Kejohanan pertama akan disertai mereka adalah Weekend Warriors League, sebuah liga domestik pada Jun ini.

Selain bola sepak, JDT turut memiliki pasukan tinju yang telah menjuarai pelbagai anugerah di peringkat Asia menerusi Muhammad Farkhan Haron.

— BERNAMA

Leave a Reply