Isu kalimah Allah: Jakim tunggu perkenan Majlis Raja-raja untuk tindakan lanjut

Hebahkan !!!

JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan agensi agama Islam lain akan mengambil tindakan selanjutnya berhubung isu penggunaan kalimah Allah selepas mendapat perkenan Majlis Raja-raja.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, pihaknya telah menyerahkan laporan hasil perbincangan antara mufti dan pakar undang-undang seluruh negara yang berlangsung Selasa lepas berhubung isu itu kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-raja.

“Kita telah mengangkat hal ini kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-raja dan kita akan tunggu sedikit masa lagi.

“Kita akan uar-uarkan tindakan selanjutnya yang akan diambil,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri himpunan agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Islam) di Masjid Negara hari ini.

Turut hadir timbalan beliau, Ahmad Marzuk Shaary dan ketua agensi di bawah kendaliannya.

Pada 10 Mac lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan penganut agama Kristian di seluruh negara boleh menggunakan kalimah Allah dan tiga perkataan lain iaitu Baitullah, Kaabah dan solat dalam penerbitan agama mereka untuk tujuan pendidikan.

Bagaimanapun, Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan telah memfailkan rayuan terhadap keputusan itu kepada Mahkamah Rayuan pada 15 Mac lepas.

Ditanya sama ada Jakim akan mengambil sebarang tindakan sebagai menyokong Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan yang membuat rayuan terhadap keputusan itu, Zulkifli berkata, ia bergantung kepada keputusan Majlis Raja-raja selepas meneliti hasil mesyuarat bersama mufti berkenaan. – BERNAMA

[VIDEO] ‘Jaga Jebat elok-elok naaa’ – Sharnaaz Ahmad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *