NAMA TRENDING, ‘FOLLOWER’ BERTAMBAH LEPAS AJL35 – AMIR MASDI TERUJA, TAK SANGKA

Hebahkan !!!

  
“Sebenarnya saya gemuruh juga nak buat persembahan di pentas AJL35, nampak sahaja saya macam relax kan… Alhamdulillah, bila AJL dah habis bersiaran saya dapat banyak komen-komen positif di media sosial.

“Sejak persembahan saya di AJL35 memang saya nampak ada jumlah pengikut yang semakin meningkat di media sosial. Pengalaman dapat buat persembahan dan bergelar finalis AJL memang memberikan pendedahan yang meluas buat kami sebagai pengkarya muzik,” kata penyanyi Amir Masdi.
Walaupun tidak berjaya memenangi sebarang trofi dalam Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL35) namun persembahan Amir yang mempertaruhkan lagu ‘Kau Sakiti’ yang merupakan lagu ciptaan Faizal Tahir, Mike Chan, Mage dan Ezra Kong itu tetap mendapat perhatian penonton sehinggakan namanya menjadi trending sebaik acara itu melabuhkan tirai pada Ahad lalu.

Persembahan Amir atau nama sebenarnya, Amir Syazwan Masdi, 24, disifatkan sebagai finalis yang paling underrated namun berjaya meninggalkan kesan di hati penonton.

Menghargai kata-kata positif yang ditinggalkan peminat dan penonton, Amir tidak menyangka namanya akan trending dan menyifatkan perkara itu salah satu kenangan paling manis pernah berlaku dalam karier nyanyiannya.

Juara program Akademi Fantasia 2016 (AF2016) ini berkata, dia juga tidak mahu dikenali sebagai imej budak sekolah seperti sebelum ini dan lebih senang dengan imej penyanyi rock.

“Saya tahu ramai dari dulu ingat imej saya macam budak sekolah disebabkan wajah saya (babyface). Dulu pun memang saya masih tercari-cari arah genre muzik yang nak dibawa ke industri.

“Tapi sebenarnya saya memang minat dengan muzik yang dibawakan oleh Michael Jackson dan kumpulan Queen. Jadi, mulai sekarang saya nak dikenali dengan imej sebagai penyanyi rock,” ujarnya yang kini dalam proses untuk mengumpulkan material terbaik untuk single terbaharunya yang akan dilancarkan tidak lama lagi.

 

“SAYA TAKKAN JADI LAGI MACAM MAYAT HIDUP” – ISTERI AMAN RA SEDIA HADAPI SEBARANG KEMUNGKINAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *