Nuha curi perhatian Christina Aquilera

Hebahkan !!!

KUALA LUMPUR: Siapa sangka usaha bakat baharu, Nuha Baharin, 21, menyampaikan lagu Hurt, dendangan asal Christina Aquilera mencuri perhatian penyanyi antarabangsa itu.

Malah, suara Nuha mendapat pujian hingga video nyanyiannya itu dimuat naik Aquilera dalam laman Instagram (IG). Lebih membanggakan, video nyanyian Nuha ditonton lebih 500,000 pengikut dalam IG Nuha.

Terbaharu, Nuha muncul dengan single pertama berjudul Xsempurna yang memaparkan kisah sebenar dilalui apabila dikutuk dan dihina satu dunia.

Sebelum ini, Nuha pernah melalui episod hitam apabila nyanyiannya mendapat kritikan hebat dalam program realiti, Vokal Mania, tahun lalu.

Nuha yang aktif menyanyikan lagu saduran dalam laman IG berkata, ia adalah pemangkin semangat untuk terus membuktikan bakatnya.

“Lagu Xsempurna memberi makna dalam hidup saya. Ia menceritakan perjalanan saya sebagai penyanyi dan artis baharu dalam industri muzik. Bagaimana saya belajar banyak perkara pada masa lalu.

“Saya boleh sifatkan pengalaman manis yang sangat pahit untuk ditelan. Bagi saya, apa yang berlaku salah satu rahmat apabila Allah menguji saya.

“Saya memperoleh lebih banyak pengetahuan daripada orang sekeliling yang sudi membimbing saya untuk menjadi penyanyi lebih baik. Ramai menunjukkan benar-benar peduli terhadap saya. Sebahagian mereka adalah orang tidak dikenali, tetapi banyak membantu. Saya amat berterima kasih,” katanya kepada BH Online.

Nuha berkata, dia berterima kasih kepada komposer lagu Xsempurna, Ezra Kong yang percaya pada bakatnya, lalu menyediakan lirik, melodi dan susunan muzik yang sesuai untuk pendengar zaman sekarang.

Dalam masa sama, Nuha berkata, dia bersyukur video muzik sempat disiapkan sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu.

“Proses penggambaran terpaksa dipercepatkan kerana PKP. Dengan keputusan pada saat akhir, pihak produksi bertungkus-lumus menyelesaikan penggambaran sebelum jam 12 tengah malam.

“Saya terhutang budi ramai yang membantu saya ketika penggambaran. Allah sahaja dapat membalas jasa baik mereka,” katanya.

Lagu Xsempurna hasil kerjasama BeeGood Music dan Universal Music Malaysia diharapkan dapat memeriahkan persada seni muzik tanah air.

“Sokongan padu semua pihak diharap dapat membuka peluang yang lebih cerah supaya saya boleh terus berkarya dengan karya bermutu dan setanding dengan piawaian hiburan antarabangsa.

“Besar harapan saya dan pasukan produksi untuk melihat hasil karya ini diterima seluruh negara dan peminat di negara jiran seperti Singapura dan Indonesia,” katanya yang akan muncul dengan album zikir bersama artis Beegood Music sempena Ramadan akan datang.

Lagu XSempurna sudah pun disiarkan secara rasmi di saluran YouTube BeeGood Music sejak 5 Mac lalu. Ia juga boleh didengari di semua platform digital seperti Apple Music, Spotify, Deezer, Joox dan YouTube Music pada tarikh yang sama.

“WALAUPUN RAMAI KECAM…” – MFMF KONGSI VIDEO ‘REHEARSAL’ NABILA RAZALI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *