Wanita antara lima juruterbang ‘terbangkan’ vaksin Sinovac ke Malaysia

Hebahkan !!!

SEPANG – “Saya sangat bangga dan terharu,” kata Nur Waie Hidayah Mohamad Rasidin, seorang daripada lima juruterbang dan satu-satunya juruterbang wanita yang dipertanggungjawabkan menerbangkan vaksin Sinovac untuk rakyat Malaysia itu tiba di negara ini dengan selamat.

Nur Waie Hidayah, 23, yang diberi peranan mengendalikan pesawat Airbus 330-300 untuk penerbangan dari Beijing, China ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), berbangga kerana dapat memecahkan tradisi dunia penerbangan yang biasanya dimonopoli juruterbang lelaki.

ADVERTISEMENT

“Saya sangat bangga dan terharu. Tiada perbezaan menjadi (juruterbang) lelaki atau wanita. Kami semua diberikan latihan yang sama dan melalui prosedur yang sama,” katanya ketika ditemui Bernama selepas mendaratkan pesawat tersebut di KLIA dekat sini, hari ini.

Nur Waie Hidayah yang menyertai Malaysia Airlines sejak 2017, mengendalikan pesawat itu dari Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing pukul 2.30 pagi (waktu Malaysia) dan mendarat di KLIA, kira-kira pukul 9 pagi tadi.

Katanya, beliau dan rakan pasukannya membuat persiapan sejak lima bulan lepas termasuk mempelajari mengenai envirotainer iaitu bekas khas mengandungi vaksin jenis Sinovac yang berkemampuan mengekalkan suhu kandungan antara 2 ke 8 darjah Celsius.

Empat juruterbang lain yang mengendalikan pesawat itu adalah Datuk Kapten Tengku Ahmad Farizanudean Al-Haj, Chin Vun Ben, Kapten Mohamed Razif Abdul Aziz dan Kapten Khairul Syukri Khali.

Terdahulu, pesawat Malaysia Airlines MH319 dengan hiasan Jalur Gemilang membawa envirotainer mengandungi 200 liter vaksin Sinovac.Sementara itu, Mohamed Razif , 53, berkata lima juruterbang dikerahkan sekali bagi penerbangan dua hala itu atas faktor keselamatan vaksin yang dibawanya selain tidak mahu mengambil masa yang lama untuk berada di Beijing.

Beliau menjelaskan pesawat Passenger-to-Cargo (PC2) yang digunakan untuk perkhidmatan kargo itu berlepas dari KLIA pada 7 malam semalam dan tiba di Beijing pada pukul 1 pagi.

“Sebaik tiba, operasi memunggah vaksin dijalankan dan kami terbang kembali dari Beijing pada pukul 2.30 pagi tanpa melengahkan masa,” katanya.

Anak jati Selangor itu berkata operasi memunggah dan memindahkan vaksin mengambil masa yang agak lama kerana suhu di China berada di bawah 0 darjah Celcius semalam.

Meskipun berbekalkan pengalaman 31 tahun dalam dunia penerbangan, beliau mengakui sedikit risau kerana tidak mahu sebarang perkara tidak diingini berlaku sehingga gagal membawa vaksin ke tanah air.

Vaksin Sinovac itu merupakan vaksin COVID-19 kedua yang tiba di Malaysia selepas vaksin Pfizer-BioNTech.

— BERNAMA

 

Leave a Reply