Lim Guan Eng menang rayuan berhubung ganti rugi kes saman terhadap Perkasa

Hebahkan !!!


Lim Guan Eng

26/02/2021 06:07 PM

PUTRAJAYA, 26 Feb — Mahkamah Persekutuan mengembalikan semula keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) dan Presidennya, Datuk Ibrahim Ali membayar ganti rugi RM150,000 kepada bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng kerana fitnah.

Dalam keputusan majoriti 2-1 yang disampaikan secara dalam talian, panel tiga hakim yang diketuai oleh Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nallini Pathmanathan membenarkan rayuan Lim untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi.

Mahkamah juga memerintahkan Lim, Setiausaha Agung DAP dan bekas Menteri Kewangan, diberikan kos RM50,000.

Hakim Datuk Harmindar Singh Dhaliwal dalam penghakimannya berkata dapat dilihat bahawa Lim telah difitnah dalam reputasinya dengan kenyataan fitnah tersebut.

“Tidak dapat dipertikaikan bahawa anggota masyarakat biasa akan melihat plaintif (Lim) sebagai pengkhianat negaranya yang sanggup membocorkan rahsia negara,” katanya, sambil menambah bahawa kata-kata fitnah itu secara peribadi disasarkan pada Lim.

Harmindar Singh berkata Lim memfailkan saman itu sebagai individu dan bukan oleh organisasi seperti kerajaan atau badan kerajaan.

Beliau berkata kenyataan itu lebih merupakan kritikan terhadap Lim daripada pejabatnya atau kerajaan Negeri Pulau Pinang kerana beliau (Lim) adalah orang yang mempunyai kemampuan untuk membocorkan rahsia.

Lim, pada 2012, memfailkan saman fitnah terhadap tujuh responden dengan mendakwa bekas Ketua Penerangan Perkasa Allahyarham Ruslan Kassim telah menyiarkan kenyataan di laman sesawang Perkasa pada 1 Okt 2011, yang membayangkan beliau (Lim) membahayakan keselamatan negara dengan mendedahkan rahsia negara kepada Singapura.

Harmindar Singh juga berpendapat bahawa tidak ada perbezaan antara pegawai awam yang difitnah kerana tingkah laku dalam kapasiti rasmi dan peribadinya.

“Selagi kenyataan fitnah itu dapat dibaca merujuk kepada individu dan bukan kerajaan secara keseluruhan, pegawai tersebut berhak mengemukakan saman,” katanya dalam penghakimannya yang dipersetujui oleh Nallini.

Harmindar Singh berkata pegawai awam boleh difitnah dengan cara yang sama seperti rakyat biasa yang lain kerana kedua-duanya mempunyai hak terhadap maruah dan reputasi, sambil menambah bahawa mereka juga perlu menikmati hak yang sama sebagaimana warganegara lain dan dibenarkan untuk mengemukakan saman fitnah dalam sebarang kapasiti individu, sama ada berkaitan dengan perkara peribadi atau rasmi.

“Dalam kes ini, tuduhan palsu yang paling serius dilemparkan kepada plaintif yang memegang jawatan tinggi sebagai Ketua Menteri,” katanya.

Beliau berkata Mahkamah Rayuan silap ketika memutuskan bahawa pegawai awam dihalang demi kepentingan umum untuk tidak membawa tindakan fitnah atas kedudukan rasmi mereka atau berkaitan dengan perkara yang mempengaruhi fungsi rasmi mereka.

Dalam keputusannya yang bertentangan, Hakim Abdul Rahman Sebli berkata Lim telah mengemukakan saman fitnah atas kapasti rasminya dan menambah bahawa bukti, yang diambil secara keseluruhan, menunjukkan melangkaui sebarang keraguan bahawa kenyataan fitnah itu ditujukan kepada Lim dalam kedudukan rasminya sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang.

Beliau berkata kebimbangan utama Lim adalah melindungi reputasinya sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang dan kerajaan negeri Pulau Pinang yang diterajuinya dan tidak sepenuh reputasi peribadinya sebagai warganegara.

Abdul Rahman berkata memandangkan Lim mengemukakan saman berkenaan atas kapasti rasmi, undang-undang mengkehendaki beliau diwakili oleh pegawai undang-undang kerajaan dan bukan peguam pilihannya.

Hakim itu berkata kegagalan Lim, memenuhi keperluan mengikut Akta Prosiding Kerajaan 1956 apabila melantik pengamal undang-undang swasta untuk mewakilinya dalam saman berkenaan dan bukannya pegawai undang-undang kerajaan dan firma guaman yang mewakili beliau tidak mengemukakan kebenaran rasmi daripada Penasihat Undang-undang Negeri Pulau Pinang.

Pada 26 Mac, 2015, Mahkamah Tinggi mendapati The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), bekas Pengarang Kumpulannya Datuk Syed Nazri Syed Harun, Utusan Melayu dan bekas Ketua Pengarang Kumpulan Datuk Abdul Aziz Ishak, Perkasa, Ibrahim dan Ruslan Kassim bertanggungjawab terhadap fitnah berkenaan.

Mahkamah Tinggi memerintahkan Perkasa membayar ganti rugi sebanyak RM150,000 manakala NSTP dan Utusan masing-masing diperintahkan membayar RM200,000.

Pada 21 Dis 2016, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Perkasa dan penerbit untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi.

Pada 5 Mac 2019, Lim meneruskan permohonannya di Mahkamah Persekutuan untuk mendapatkan kebenaran untuk merayu terhadap Perkasa, Ibrahim dan Ruslan, namun, pada awal prosiding rayuannya di Mahkamah Persekutuan pada 22 Sept tahun lepas, Lim menarik balik tindakan undang-undangnya terhadap Ruslan yang meninggal dunia.

Lim juga menarik balik permohonan kebenaran merayu terhadap NSTP dan Utusan Melayu pada 5 Mac 2019 setelah media arus perdana itu bersetuju untuk membayar ganti rugi masing-masing sebanyak RM200,000 yang diputuskan Mahkamah Tinggi kepadanya (Lim).

Lim yang diwakili peguam Americk Sidhu, memperoleh kebenaran untuk merayu ke Mahkamah Persekutuan.

Peguam Adnan Seman mewakili Perkasa dan Ibrahim.

Leave a Reply