Pembangkang atau k’jaan, parti terbesar perlu dominan dalam gabungan

Hebahkan !!!

Parti terbesar gabungan, sama ada kerajaan atau pembangkang, perlu memain peranan dominan demi mewujudkan kestabilan politik, menurut anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno Johari Abdul Ghani.

Katanya, dengan cara itulah Malaysia akan menikmati pertumbuhan ekonomi yang rancak selepas kemerosotan ekonomi akibat penularan wabak Covid-19.

Kenyataannya itu di tengah-tengah spekulasi yang Perdana Menteri Muhyiddin Yassin memberi “kata dua” kepada Umno, untuk memutuskan selewat-lewatnya 1 mac ini, sama ada masih ingin bersama Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi PRU akan datang atau tidak.

Umno merupakan parti terbesar dalam PN dengan 39 kerusi Parlimen. Bersatu pula memiliki 31 kerusi Parlimen.

Parti itu dijangka membuat keputusan sama ada untuk meneruskan kerjasama itu pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) pada 27 dan 28 Mac.

Terdahulu, sejumlah 189 daripada 191 Bahagian Umno dilaporkan menolak kerjasama dengan Umno ketika mesyuarat agung yang berjalan bulan lalu.

“Saya sentiasa berpendirian parti terbesar yang perlu mengetuai kerajaan atau pembangkang…(Jika tidak) ia akan mencetuskan ketidakstabilan politik,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Bila parti lebih kecil jadi ketua

Johari juga percaya ketidakstabilan politik bermula apabila Dr Mahathir Mohamad – pengasas Bersatu yang merupakan parti kecil yang hanya menang 13 kerusi Parlimen pada PRU14 – menjadi perdana menteri.

“Ketidakstabilan politik membawa kepada keruntuhan (pentadbiran) PH,” katanya yang merupakan bekas menteri kewangan.

Katanya lagi, ketidakstabilan berterusan apabila Bersatu kekal sebagai parti yang mengetuai pentadbiran, dengan 31 kerusi Parlimen selepas merekrut ahli Parlimen daripada Umno.

Pada PRU14, Umno menang di 55 kerusi Parlimen.

Johari membangkitkan bagaimana Umno menyumbang kepada kestabilan politik ketika era BN, apabila parti itu memainkan peranan penting dalam gabungan pemerintah.

Pada masa sama, dia berkata tiada masalah jika jawatan perdana menteri dipegang oleh parti lebih kecil, asalkan parti terbesar mempunyai peranan utama dalam gabungan dan memegang kementerian-kementerian penting.

Sumber : Mkini

Leave a Reply