Polis tumpas geng “Azahar” aktif curi motosikal, 17 diberkas

Hebahkan !!!

25/02/2021 07:58 PM

https://youtu.be/ILFRCmETX_k

SUNGAI BULOH, 25 Feb — Polis menumpaskan geng “Azahar” yang aktif dalam kegiatan mencuri motosikal sejak akhir tahun lalu, selepas menangkap 14 lelaki yang dipercayai ahli kumpulan itu dalam serbuan berasingan di sini, Hulu Langat dan Rawang bermula 1 hingga 18 Feb lepas.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Supt Shafa’aton Abu Bakar berkata turut diberkas dalam operasi berkenaan ialah seorang lelaki warga Indonesia yang dipercayai pembeli serta dua wanita berusia 18 dan 20 tahun yang merupakan teman wanita kepada ahli geng tersebut.

“Dalam operasi terbabit, polis turut merampas lima buah motosikal jenis Honda EX5 dan Yamaha LC, lima rangka motosikal dan sebuah bongkah enjin dengan nilai rampasan dianggar berjumlah RM30,000.Geng ini menyasarkan motosikal jenis Yamaha, Modenas dan Honda yang kemudian dileraikan sebelum dijual kepada warga asing pada harga RM500 hingga RM1,000,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Menurutnya semakan mendapati 10 daripada ahli kumpulan itu mempunyai rekod lampau membabitkan kes dadah dan jenayah selain sembilan daripada mereka turut didapati positif dadah.

Beliau berkata dengan tumpasnya kumpulan itu, polis berjaya menyelesaikan 12 kes kenderaan hilang di Sungai Buloh, Shah Alam, Subang Jaya, Dang Wangi dan Cheras, selain mengenal pasti 15 lagi kes kecurian motosikal yang dipercayai ada kaitan dengan kumpulan tersebut.

Kesemua suspek yang berusia 16 hingga 41 tahun terbabit direman hingga esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan, katanya.

Mengulas kes berasingan, Shafa’aton berkata polis memberkas dua beradik lelaki berusia 20 dan 23 tahun yang disyaki terbabit dalam kegiatan pecah premis dobi, taska dan restoran di sekitar Sungai Buloh, Gombak dan Klang sejak akhir tahun lalu.

Shafa’aton berkata kedua-dua suspek ditahan dalam serbuan Op Pintu Khas di dua buah rumah di Kampung Melayu Seri Kundang, Rawang pada 11 dan 12 Feb lalu serta merampas sebuah motosikal Honda EX5, tukul dan pemutar skru yang dipercayai digunakan mereka bagi melakukan kegiatan tersebut.

Menurutnya siasatan awal mendapati mereka melakukan kegiatan pecah premis pada awal pagi iaitu antara 1 hingga 5 pagi, dan dipercayai terlibat dalam 11 kes pecah premis membabitkan kerugian RM15,000.

“Semakan mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau, masing-masing 13 dan tiga rekod berkaitan jenayah dan dadah, sementara ujian saringan air kencing mendapati kedua-duanya positif dadah jenis methamphetamine,” katanya, menambah dua beradik itu direman hingga esok dan kes disiasat menurut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Leave a Reply