PGSM gesa kerajaan negeri kaji semula peruntukan undang-undang jenayah syariah

Hebahkan !!!

25/02/2021 05:34 PM

KUALA LUMPUR, 25 Feb — Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) menggesa kerajaan negeri mengambil tindakan segera untuk mengkaji semula semua peruntukan undang-undang jenayah syariah sedia ada bagi memastikan undang-undang itu tidak lagi dicabar oleh pihak-pihak tertentu.

Presidennya Musa Awang dalam kenyataannya hari ini berkata selain kerajaan negeri, pihak-pihak berkuasa juga perlu mengambil tindakan secara drastik serta holistik untuk melihat dan mengkaji semula peruntukan itu agar ia tidak diperkotak-katikkan.

Beliau berkata demikian berhubung keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini yang membenarkan pengisytiharan dipohon seorang lelaki berusia 35 tahun, bahawa Seksyen 28 Enakmen Kesalahan-kesalahan Jenayah Syariah (Selangor) 1995 yang memperuntukkan kesalahan dan hukuman terhadap persetubuhan bertentangan dengan hukum tabii, adalah tidak sah dan tidak mengikut perlembagaan.

Lelaki itu yang identitinya dirahsiakan atas permintaan peguam, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Syariah Selangor pada 2018 atas pertuduhan cuba melakukan seks di luar tabii dengan lelaki lain di sebuah rumah di Selangor.

Dalam pada itu, Musa berkata keputusan Mahkamah Persekutuan itu memberi implikasi yang cukup besar kepada perundangan syariah di negara ini, khususnya dalam perkara berkaitan dengan kesalahan-kesalahan jenayah syariah dalam Enakmen Kesalahan/Jenayah Syariah Negeri-Negeri.

“Ia bermaksud bahawa Badan Perundangan Negeri tidak mempunyai kuasa untuk menggubal peruntukan berhubung kesalahan jenayah syariah sekiranya telah wujud peruntukan yang hampir sama dalam undang-undang persekutuan yang digubal Parlimen, walaupun kesalahan dilakukan oleh orang yang menganut agama Islam,” katanya dalam kenyataan itu.

Beliau berkata keputusan itu akan membuka ruang kepada mana-mana pihak lain untuk mencabar peruntukan-peruntukan lain yang terdapat dalam Enakmen Jenayah Syariah Negeri-negeri.

Keputusan itu menunjukkan bahawa selagi mana ada peruntukan tentang sesuatu kesalahan jenayah dalam undang-undang persekutuan, maka sukar untuk kerajaan negeri mengadakan atau menggubal peruntukan berhubung kesalahan-kesalahan jenayah syariah walaupun ia dalam kategori kesalahan dilakukan oleh seorang muslim.

“Keputusan itu juga sebagai gambaran awal “menutup pintu” kepada cadangan untuk melaksanakan undang-undang berkaitan hudud dan qisas di negara ini kerana kesalahan hudud seperti mencuri (sariqah), merompak (hirabah), kesalahan qisas seperti membunuh (al-qatl) juga terdapat dalam Kanun Keseksaan,” kata Musa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *