Terima rasuah, Penolong Pegawai Seni Bina dipenjara dan denda

Hebahkan !!!

24/02/2021 04:59 PM

BUTTERWORTH, 24 Feb — Seorang Penolong Pegawai Seni Bina di Jabatan Konservasi Warisan, Majlis Bandaraya Pulau Pinang dipenjara sehari dan didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM16,800, enam tahun lepas.

Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid menjatuhkan hukuman itu terhadap Zamira Juneed, 38, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhannya dan turut memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan lagi jika gagal membayar denda.

Mengikut kedua-dua pertuduhan, Zamira didakwa menerima rasuah bagi mempercepatkan proses permohonan tukar guna kediaman kepada hotel dan kerja pengubahsuaian bangunan kepada beberapa pemilk syarikat di Maybank Islamic Bhd, Jalan Bagan Luar di sini, antara 14 Jan 2015 dan 22 Sept 2016.Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya S. Selvaranjini dan Mohamad Azlan Basri memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran terhadap tertuduh dan masyarakat.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan atas alasan dia perlu menanggung ibu bapa yang mempunyai masalah kesihatan serta suaminya yang perlu menjalani pembedahan jantung.

Sumber :- BERNAMA

Leave a Reply