SPRM gagal gantung keputusan lucut hak wang RM100,000 milik Kasitah Gaddam

Hebahkan !!!

24/02/2021 07:05 PM

KUALA LUMPUR, 24 Feb — Pihak pendakwaan hari ini gagal menggantung pelaksanaan perintah Mahkamah Tinggi di sini yang menolak permohonannya untuk melucut hak wang berjumlah RM100,000 daripada Tan Sri Kasitah Gaddam.

Wang itu disita oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas didakwa mempunyai kaitan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ini berikutan keputusan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh yang menolak permohonan pendakwaan untuk menggantung pelaksanaan keputusan itu.

Dalam prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Maziah Mohaide manakala peguam Sasila Basri mewakili bekas Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi itu.

Pada 24 Julai tahun lepas, Ahmad Shahrir menolak permohonan pendakwaan untuk melucut hak wang RM100,000 daripada Kasitah.

Dalam penghakimannya, Ahmad Shahrir berkata mahkamah mendapati pendakwaan gagal membuktikan wang yang disita daripada akaun Bank CIMB Berhad Kasitah adalah hasil daripada aktiviti haram.

Pada Jun 2019, bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya berkata permohonan pelucuthakan sivil telah difailkan terhadap 41 responden untuk mendapatkan semula dana berjumlah kira-kira RM270 juta yang didakwa mempunyai kaitan dengan 1MDB.

Sumber : BERNAMA

Leave a Reply