Polis tahan pemandu lori langgar tiang lampu isyarat

Hebahkan !!!

24/02/2021 05:10 PM

GEORGE TOWN, 24 Feb — Polis menahan seorang pemandu lori yang melanggar tiang lampu isyarat dan nyaris merempuh tiga buah motosikal di lampu isyarat Jalan Dato Ismail Hashim, Persiaran Kelicap Bayan Lepas dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Supt A.A Anbalagan berkata, lelaki berusia 26 tahun itu ditahan selepas dia membuat laporan polis berhubung kejadian itu di balai polis hari ini, bagi membantu siasatan berhubung insiden yang berlaku kira-kira 4 petang semalam.

“Siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku ketika lori itu melalui Persiaran Kelicap dari arah Bayan Mutiara ke Bayan Lepas dan sebaik ia tiba di situ, lori tersebut mengalami masalah pada brek sehingga menyebabkan hilang kawalan lalu melanggar tiang lampu isyarat, yang berada di jalan tersebut.

“Bagaimanapun, kemalangan itu tidak melibatkan kenderaan lain termasuk tiga buah motosikal yang sedang menunggu lampu isyarat di situ. Pemandu lori tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan dan ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya ujian saringan air kencing lelaki itu mendapati negatif dadah dan lori tersebut akan dibawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) untuk pemeriksaan, serta kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu, tular video memaparkan sebuah lori nyaris merempuh tiga buah motosikal di persimpangan Persiaran Kelicap di sini, sebelum merempuh tiang lampu isyarat di situ.

Sumber : BERNAMA

Leave a Reply