Pemandu lori dihukum gantung, edar dadah bernilai RM22 juta

Hebahkan !!!

24/02/2021 08:51 PM

KUALA TERENGGANU, 24 Feb — Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhi hukuman gantung sampai mati ke atas seorang pemandu lori setelah didapati bersalah mengedar dadah jenis methamphetamine bernilai RM22 juta, empat tahun lalu.

Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohammad Ishak Ramli, 37, setelah gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Bagaimanapun, seorang lagi tertuduh yang turut didakwa atas pertuduhan sama iaitu Nur Muhammad Izzudin Nordin, 29, seorang kelindan lori telah dilepas dan dibebaskan.

Mohammad Ishak dan Nur Muhammad Izzudin, masing-masing didakwa mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 203.9467 kilogram (kg) di dalam ruang muatan sebuah treler jenis Volvo yang diletakkan di tepi sebuah rumah sekitar Bukit Payong, Marang, pada 11 malam, 25 Sept 2017.

Ketika penghakiman, Abdul Wahab berkata pembelaan Mohammad Ishak hanyalah bersifat penafian semata-mata dan beliau bersetuju dengan hujah pihak pendakwaan bahawa tertuduh tidak boleh ‘membutakan mata’ apatah lagi dadah yang dibawa berada di dalam beg baju tidak berzip dan tidak berkunci.

Tambahnya, tertuduh juga tidak berusaha untuk memastikan barang-barang yang dibawa adalah benar-benar beras Siam serta gagal membuktikan dia adalah pembawa tidak bersalah kerana tertuduh mempunyai masa untuk memeriksa barang-barang sebelum bergerak.

Katanya, selain beg baju terbabit terdapat juga 11 guni lain, yang semuanya berisi dadah.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati .

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Fadhli Mahmud dan Amer Abu Bakar Abdullah manakala Mohammad Ishak diwakili peguam Datuk Sukri Mohamed serta Nur Muhammad Izzudin diwakili peguam Mazlan Md Zain.

Sumber : BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *