MY E.G. Services tak pernah salah guna kedudukannya yang dominan – peguam

Hebahkan !!!

24/02/2021 09:54 PM

PUTRAJAYA, 24 Feb — Mahkamah Rayuan dimaklumkan bahawa MY E.G Services Berhad dan MYEG Commerce Sdn Bhd tidak pernah menyalahgunakan kedudukannya yang dominan berkaitan penjualan polisi insurans mandatori untuk pembaharuan permit kerja sementara bagi pekerja asing secara dalam talian.

Peguam Datuk Wira Mohd Hafarizam Harun, yang mewakili MY E.G Services dan MYEG Commerce, berhujah kontrak yang dimeterai My E.G. Services dengan kerajaan untuk memberikan perkhidmatan secara dalam talian bagi pembaharuan permit kerja warga asing bukanlah satu perjanjian eksklusif.

Beliau berkata mana-mana pesaing boleh memeterai perjanjian sama dengan kerajaan dan boleh turut melaksanakan sistem pembaharuan permit kerja warga asing yang serupa.

Katanya kaedah pembelian polisi insurans mandatori adalah berbeza yang menyaksikan ada yang membenarkan pengguna akhir membeli insurans mandatori itu secara terus melalui sistem pembaharuan secara dalam talian dan pembayaran bagi polisi itu akan dilakukan serentak dengan pembayaran bagi pembaharuan permit kerja sementara.

Mohd Hafarizam berkata kaedah kedua membolehkan pengguna akhir menghubungi ejen insurans mereka sendiri untuk membeli insurans mandatori itu dengan pembayaran dibuat kepada ejen terbabit.

Mohd Hafarizam berkata bagi pengguna akhir yang membeli insurans mandatori itu daripada syarikat insurans lain, syarat pengesahan tambahan akan dikenakan bagi mencegah polisi palsu.

Beliau berhujah hakim Mahkamah Tinggi telah terkhilaf dari segi fakta serta undang-undang apabila mengekalkan keputusan Tribunal Rayuan Persaingan bahawa My E.G Services dan MYEG Commerce telah menyalahgunakan kedudukannya yang dominan dengan mengenakan langkah tambahan kepada pengguna akhir tanpa memberi pertimbangan bahawa syarikat terbabit mempunyai tanggungjawab untuk mematuhi undang-undang yang ditetapkan kerajaan menerusi Jabatan Imigresen.

Mohd Hafarizam berkata demikian di hadapan panel tiga hakim diketuai Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah dalam rayuan oleh My E.G Services, yang merupakan penyedia perkhidmatan e-kerajaan dan anak syarikat milik penuhnya, MyEG Commerce.

Kedua-dua syarikat mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak semakan kehakiman mereka bagi membatalkan keputusan tribunal itu.

Pada 24 Jun 2016, Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) mendapati MY E.G. Services dan MyEG Commerce telah melanggar Seksyen 10(2)(d)(iii) Akta Persaingan 2010 kerana menyalahgunakan kedudukannya yang dominan untuk mengenakan syarat berbeza bagi transaksi yang sama dengan pesaingnya dalam pasaran penjualan insurans mandatori bagi permohonan pembaharuan permit kerja sementara warga asing (pas lawatan kerja sementara atau PLKS) secara dalam talian.

Pada 28 Dis 2017, Tribunal Rayuan Persaingan ketika menolak rayuan My E.G Services dan MYEG Commerce, memutuskan bahawa tiada alasan kukuh yang membolehkan tribunal itu mengganggu keputusan MyCC.

Kedua-dua syarikat diarah membayar penalti berjumlah RM9.337 juta yang merangkumi penalti kewangan sebanyak RM307,200 dan penalti harian dari 7 Okt 2015 hingga 22 Jan 2019 yang berjumlah RM9.03 juta.

Selain itu, mereka dikenakan penalti harian sebanyak RM7,500 sehari sehingga kedua-dua syarikat mematuhi arahan MyCC dalam keputusannya.

Dalam prosiding yang dikendalikan menerusi Zoom, Mohd Hafarizam turut berhujah bahawa penalti kewangan yang dikenakan MyCC dan penalti tambahan oleh Tribunal Rayuan Persaingan adalah keterlaluan.

Mahkamah kemudian menetapkan 15 Mac untuk mendengar hujah peguam Datuk Lim Chee Wee yang mewakili MyCC.

Sumber : BERNAMA

Leave a Reply