Mahkamah benar SPRM lucut hak wang RM1.5 juta daripada Pengarah MonSpace

Hebahkan !!!

24/02/2021 07:08 PM

KUALA LUMPUR, 24 Feb — Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melucut hak wang berjumlah RM1.5 juta daripada Pengarah MonSpace (M) Sdn Bhd Datuk Seri Jessy Lai Chai Suang.

Permohonan bagi pelucuthakan wang itu dibuat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM Allan Suman Pillai berkata Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Aslam Zainuddin membenarkan permohonan itu atas alasan tiada pihak ketiga termasuk Lai menuntut wang tersebut.

“Mahkamah membenarkan lucut hak itu kerana tidak ada yang membuat tuntutan di bawah Seksyen 28E AMLATFPUAA 2001,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Dalam prosiding hari ini, peguam Lam Nian Cean mewakili Lai.

Pada 25 Julai 2018, media melaporkan 16 premis MonSpace di Ipoh dan Lembah Klang diserbu pihak berkuasa susulan siasatan berkaitan skim pelaburan yang didakwa tidak sah.

Sumber : BERNAMA

Leave a Reply