Kompleks Sukan Terengganu dibuka semula untuk riadah mulai Jumaat ini

Hebahkan !!!


Foto: www.facebook.com/BahagianPengurusanKompleksSukan

24/02/2021 05:49 PM

KUALA TERENGGANU, 24 Feb — Kompleks Sukan Negeri Terengganu yang terletak di Gong Badak di Kuala Nerus, akan dibuka semula kepada orang ramai bagi aktiviti riadah mulai Jumaat (26 Feb) ini.

Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) Ahmad Shahrizal Yahaya berkata, keputusan untuk membuka semula kompleks sukan itu dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), dibuat setelah proses sanitasi di semua pusat dan kemudahan sukan yang terdapat di situ selesai.

“Bagi tujuan rekreasi hanyalah secara individu yang dibenarkan, manakala secara berkumpulan tidak dibenarkan. Masa yang dibenarkan bermula 4 petang hingga 7 malam.

“Bagaimanapun, aktiviti untuk kanak-kanak bawah 12 tahun, golongan OKU (orang kurang upaya) dan warga emas berumur 60 tahun ke atas, tidak dibenarkan,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Katanya tempahan untuk aktiviti sukan yang bersentuhan seperti bola sepak, bola jaring, ragbi dan hoki masih tidak dibenarkan.

Ahmad Shahrizal berkata pengunjung juga perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan seperti tidak bersentuhan, mengamalkan penjarakan fizikal dan mendaftar dalam aplikasi My Sejahtera.

Selain itu katanya, pengunjung juga perlu meninggalkan kompleks sukan tersebut secepat mungkin setelah selesai menjalani aktiviti riadah atau latihan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *