Dua perlawanan persahabatan uji pemain Kelantan FC

Hebahkan !!!

24/02/2021 06:09 PM

KOTA BHARU, 24 Feb — Pasukan Kelantan FC akan menguji pemain pada dua perlawanan pemanas badan, sebelum sepak mula sebenar saingan Liga Malaysia (Liga-M) pada awal Mac depan.

Pemilik Kelantan FC Norizam Tukiman berkata, perlawanan ujian pertama yang bakal dilalui oleh pemainnya pada 26 Feb bertemu pasukan dari negeri jiran iaitu Terengganu FC ll (TFC II), di Stadium Sultan Ismail Nasirrudin Shah, Kuala Terengganu pada pukul 4.45 petang.

“Pada 28 Feb kami akan menentang pasukan Melaka United di Stadium Hang Jebat, yang merupakan salah satu pasukan yang cukup berkualiti pada saingan Liga-M.

“Perlawanan pemanasan penting kepada kami, bagi menilai kemampuan pemain dan pasukan bagi menghadapi cabaran sebenar, sepanjang saingan Liga-M berlangsung musim ini,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Pada Perlawanan pembukaan Liga Premier, Kelantan FC akan bertemu Perak FC ll di Stadium Sultan Muhammad lV pada 6 Mac.

Norizam berkata perlawanan pra-musim itu sebagai platfrom kepada pemainnya, bagi menyesuaikan diri dengan perlawanan sebenar di peringkat lebih tinggi, memandangkan rata-rata pemain yang membarisi pasukan merupakan pemain muda.

“Apa yang penting kami mahu membentuk keserasian dan kesefahaman antara pemain tempatan serta pemain import pasukan, dalam tempoh yang ada ketika ini.

“Saya yakin dengan pemain, barisan jurulatih, dan pihak pengurusan pasukan, untuk menghadapi cabaran Liga-M khususnya liga Premier,” katanya.

Pada saingan Liga-M, negeri Kelantan mempunyai dua pasukan yang akan beraksi pada saingan Liga Premier, iaitu Kelantan United dan Kelantan FC.

Leave a Reply