Halang tugas JAWI: Pengurusan kes rayuan terhadap pembebasan Siti Kasim 22 Mac

Hebahkan !!!


Siti Kasim

22/02/2021 03:31 PM

KUALA LUMPUR, 22 Feb — Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 22 Mac untuk pengurusan kes bagi rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan peguam dan aktivis Siti Kasim daripada pertuduhan menghalang tugas seorang pegawai Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), pada satu acara di sebuah hotel kira-kira lima tahun lalu.

Timbalan Pendakwa Raya Izalina Abdullah memaklumkan perkara itu kepada pemberita selepas pengurusan kes dalam kamar Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Farah Azura Mohd Saad.

“Pihak pendakwaan memaklumkan kepada mahkamah bahawa rekod rayuan masih belum lengkap dan memohon tarikh pengurusan kes selanjutnya,” katanya yang turut memaklumkan bahawa peguam bagi pihak responden iaitu Siti Kasim tidak hadir pada prosiding hari ini.

Pada 21 Ogos 2020, Mahkamah Majistret di sini melepaskan dan membebaskan Siti Kasim atau nama sebenarnya Siti Zabedah Kasim, 58, atas pertuduhan dengan sengaja menghalang pegawai JAWI Siti Nor Jihan Saleh @ Md Ghazali, 41, dalam melaksanakan tugasnya di sebuah hotel, di sini, pada 10.30 malam, 3 April 2016.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Majistret Tawfiq Affandy Chin membuat keputusan itu di akhir kes pendakwaan, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan unsur-unsur pertuduhan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

Difahamkan, acara tersebut merupakan majlis makan malam tertutup yang melibatkan komuniti transgender di sebuah hotel di sini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *