THE 100 INFLUENTIAL YOUNG ENTREPRENEURS 2020 – AZIRA SHAFINAZ BERSYUKUR PEROLEHNYA

Hebahkan !!!

“Anugerah ini sangat bermakna buat saya secara peribadi. Ia membuktikan kerja-keras saya dalam bidang seni selama ini tidak sia-sia walaupun saya masih baru.

“Selama ini, saya cuma pernah dicalonkan dalam anugerah hiburan dan tak pernah menang lagi. Jadi, tentunya saya amat bersyukur memandangkan pengiktirafan ini diberikan kepada bukan calang-calang nama.

“Tak sangka penganjur melihat pencapaian saya pada tahap itu juga,” demikian tutur penyanyi, pelakon, dan pengacara Azira Shafinaz, 30, yang terharu mendapat pengiktirafan anugerah The 100 Most Influential Young Entrepreneurs 2020 dalam kategori seni dan budaya, baru-baru ini.

Klik untuk gambar besar

Image_2.jpg

Anugerah The 100 Most Influential Young Entrepreneurs 2020 yang diadakan sejak 2016 dianjurkan Entrpreneur Insight. Ia adalah pengiktirafan buat usahawan yang cemerlang dalam bidang masing-masing termasuk hiburan.

Pembabitan dalam bidang hiburan selama lebih lima tahun, Azira atau nama sebenarnya Azira Shafinaz Ramlan mengakui anugerah itu yang pertama diterimanya dan tidak sangka akhirnya dihargai.

Antara selebriti yang pernah menerima anugerah ini ialah Datuk Seri Siti Nurhaliza, Awal Ashaari, Elfira Loy, Nelydia Senronse dan Diana Danielle.

Image_3.jpg

Selain Azira, turut diiktiraf dalam kategori sama pada acara itu adalah pelakon Nad Zainal. Disebabkan situasi pandemik Covid-19, penyampaian anugerah terbabit dilakukan secara virtual.

Dalam pada itu, Azira mengakui jadual seninya semakin sibuk apabila tawaran tidak putus-putus datang. Menurutnya, bukan saja dalam bidang lakonan, malah dia semakin laris untuk mengacarakan program TV.

Pengacara program Vokal Mania musim pertama itu juga bakal tampil dengan filem berjudul ‘Penunggang Agama’ yang akan ditayangkan bulan depan. Dalam filem arahan Syafiq Yusof itu, dia berganding dengan Zul Ariffin.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *