Kementerian Belia dan Sukan Sarawak serah geran RM5 juta

Hebahkan !!!


Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah (Gambar fail)

20/02/2021 04:47 PM

KUCHING, 20 Feb — Kementerian Belia dan Sukan Sarawak hari ini menyerahkan geran berjumlah RM5,030,600 kepada 59 persatuan dan pertubuhan belia dan sukan di negeri itu.

Menteri Belia dan Sukan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah ketika berucap pada majlis penyerahan geran tersebut hari ini berharap geran itu dapat dijadikan sebagai pemangkin buat persatuan berkenaan untuk terus aktif serta komited dalam melaksanakan program masing-masing.

Katanya, dalam situasi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Sarawak kini, mereka perlulah kreatif melaksanakan program secara berterusan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Beliau turut menyeru agar semua persatuan dan pertubuhan belia dan sukan di negeri itu untuk terus meningkatkan prestasi mereka selari dengan objektif penubuhan masing-masing.

“Saya juga berharap dengan sokongan padu kerajaan negeri, Sarawak mampu bangkit sebagai kuasa sukan Malaysia dan bersedia untuk Sukma (Sukan Malaysia) pada tahun hadapan, namun ini memerlukan semangat kerjasama erat dalam program pembangunan dan latihan bagi menjamin keupayaan Sarawak,” katanya.

Sementara itu, Abdul Karim berkata latihan untuk Sukma akan diteruskan seperti biasa dengan mematuhi SOP ditetapkan bagi memastikan Sarawak berjaya mendapat tempat teratas semasa temasya sukan itu nanti.

Penyerahan geran belia dan sukan itu bertujuan untuk pembiayaan pengurusan pentadbiran persatuan dan pertubuhan serta bagi pelaksanaan program atau aktiviti bagi tahun 2021.

— BERNAMA

Leave a Reply