Kejohanan Renang Jemputan Peringkat Umur Malaysia ke-57 dibatalkan – Mae Chen

Hebahkan !!!


Mae Chen

21/02/2021 03:59 PM

KUALA LUMPUR, 21 Feb — Atlet renang negara yang dalam misi memburu kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo dijadual Julai ini, berdepan satu lagi cabaran apabila Persatuan Renang Malaysia (MS) terpaksa membatalkan Kejohanan Renang Jemputan Peringkat Umur Malaysia ke-57.

Setiausaha Agung MS Mae Chen berkata kejohanan yang juga kejohanan kelayakan Olimpik yang dijadualkan pada 4-7 Mac itu dibatalkan susulan lanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hingga 4 Mac.

Satu lagi harapan yang tinggal bagi penganjuran kejohanan kelayakan Sukan Olimpik iaitu Kejohanan Renang Terbuka Malaysia ke-63 yang dijadualkan pada 20-23 Mei, kerana kejohanan lain akan berlangsung di Eropah.

“Susulan lanjutan tempoh PKP, kami tidak dapat meneruskan jemputan kepada semua persekutuan renang. Kami kecewa kerana tidak dapat menganjurkan acara ini kerana ia sudah diiktiraf oleh Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA) sebagai Kelayakan Olimpik dan kami telah maklumkan kepada FINA mengenai pembatalan itu.

“Kami akan mendapatkan nasihat daripada Pejabat Pesuruhjaya Sukan dan Kementerian Belia dan Sukan berhubung penganjuran Terbuka Malaysia. Ini adalah satu lagi acara kelayakan Olimpik yang diluluskan oleh FINA dan kami berharap dapat menganjurkannya atau kami terpaksa menghantar atlet renang negara ke kejohanan lain untuk melayakkan diri,” katanya.

Sebelum ini, MS telah membatalkan penganjuran kejohanan renang sempena Hari Sukan Negara pada 9-11 Okt tahun lepas yang sepatutnya menjadi medan untuk menguji perenang negara, susulan peningkatan kes COVID-19 dalam negara.

MS juga telah bercadang untuk menghantar skuad renang negara mengambil bahagian dalam Kejohanan Renang Eropah 2021 pada 17-23 Mei di Budapest, Hungary sebagai persiapan ke Sukan SEA Hanoi pada November ini.

Leave a Reply