China rakan dagang terbesar EU

Hebahkan !!!

20/02/2021 05:05 PM

BEIJING, 20 Feb — China buat pertama kali mendahului Amerika Syarikat (AS) sebagai rakan dagang terbesar bagi Kesatuan Eropah (EU) pada 2020, menurut data terkini agensi statistik Eurostat.

Antara sepuluh rakan dagang barangan paling besar bagi EU, China satu-satunya mewujudkan pertumbuhan perdagangan import dan eksport dengan blok itu.

Pada tahun lalu, EU mengimport barangan sebanyak 383.5 bilion euro dari China, meningkat 5.6 peratus berbanding tahun sebelumnya, sementara mengeksport barangan bernilai 202.5 bilion euro ke China, naik 2.2 peratus.

Menurut analisis, permintaan tinggi negara EU terhadap bahan-bahan keperluan melawan COVID-19 dan produk elektronik telah memacu eksport barangan berkenaan China ke EU.

Kecekapan China dalam mengawal wabak dan menyambung semula pengeluaran turut merangsang pemulihan penggunaan domestik, sekali gus menyediakan pasaran kepada komoditi Eropah seperti kereta.

Tidak dinafikan prestasi baik itu berkat kesungguhan bersama daripada segi dasar, serta asas perdagangan yang kukuh antara kedua-dua pihak.

Sejak beberapa dekad lalu, hubungan ekonomi dan perdagangan antara China dan EU kekal berkembang dengan stabil.

Setakat 2019, EU muncul sebagai rakan dagang terbesar China selama 16 tahun berturut-turut, manakala China rakan dagang kedua terbesar bagi blok itu selama 15 tahun berturut-turut.

Tambahan pula dengan selesainya rundingan perjanjian pelaburan China-EU pada hujung 2020, kerjasama ekonomi dan perdagangan kedua-dua pihak diyakini mempunyai prospek lebih cerah.

Selaku dua pasaran utama dunia, kerjasama pragmatik lebih kukuh antara China dan EU pasti akan mendorong pemulihan global pada era pasca pandemik, sekali gus menyumbang kepada pembentukan ekonomi dunia yang terbuka.

— BERNAMA

Leave a Reply