SIA terbangkan kumpulan pertama vaksin COVID-19 Moderna ke Singapura

Hebahkan !!!


Gambar Facebook Singapore Airlines

17/02/2021 08:44 PM

Oleh Massita Ahmad

SINGAPURA, 17 Feb — Singapore Airlines (SIA) hari ini menerbangkan kumpulan pertama vaksin COVID-19 Moderna ke Singapura dengan pesawat kargo Boeing 747-400.

Vaksin itu diangkut menggunakan pesawat kargo penerbangan SQ7137, dari Brussels, Belgium.

Sebelum ini syarikat penerbangan sama turut mengangkut kumpulan pertama vaksin Pfizer-BioNTech COVID-19 ke negara ini pada 21 Disember 2020.

“Kami berbesar hati menjalankan peranan kami untuk mengangkut vaksin COVID-19 dengan selamat, boleh diharap dan menepati masa untuk menyokong program vaksinasi negara,” kata Naib Presiden Kanan SIA, Chin Yau Seng, dalam satu kenyataan di sini.

Chin berkata selain penghantaran hari ini, SIA mendapat hak menghantar vaksin Pfizer-BioNTech COVID-19 ke Singapura, Australia dan New Zealand, serta vaksin Sinovac COVID-19 ke Indonesia, sejak dua bulan lalu.

Pihak Berkuasa Sains Kesihatan Singapura (HSA) pada 3 Februari memberi kelulusan sementara kepada Moderna sebagai vaksin COVID-19 kedua yang digunakan di negara itu.

Kebenaran sementara tersebut adalah di bawah Laluan Akses Khas Pandemik (PSAR), bertujuan mempercepatkan proses mendapatkan vaksin, ubat-ubatan, dan peralatan perubatan kritikal semasa pandemik.

Kumpulan vaksinasi yang diserahkan Moderna memerlukan dua dos suntikan dalam tempoh 28 hari.

Vaksin itu menunjukkan 94 peratus keberkesanan.

Setakat ini, kira-kira 250,000 orang telah menerima dos pertama vaksin Pfizer-BioNTech di Singapura.

— BERNAMA

Leave a Reply