KBS minta pertimbangan untuk hampir 151 jenis sukan

Hebahkan !!!


Kelihatan pengunjung mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) iaitu satu gelangang dua orang semasa melakukan aktiviti sukan badminton ketika tinjauan di gelanggang badminton TJH Sport Centre Glenmarie Shah Alam hair ini. Kerajaan bersetuju membenarkan beberapa aktiviti sukan dengan pematuhan SOP yang ketat iaitu sukan tenis, badminton, ping pong (acara perseorangan sahaja), permotoran (dua roda dan empat roda) serta aktiviti latihan kemahiran kendiri seperti bola sepak, bola keranjang, hoki dan sepak takraw boleh dilakukan secara latihan kemahiran kendiri (tanpa aktiviti bersentuhan). –fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

17/02/2021 11:40 PM

KUALA LUMPUR, 17 Feb — Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bakal membawa cadangan untuk pertimbangan meliputi hampir 151 jenis sukan lagi merangkumi acara ‘indoor’, ‘outdoor’ dan sukan dalam air diberi kelonggaran.

Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menerusi catatan Facebooknya hari ini berkata pasukan KBS telah membuat penelitian dan akan mencadangkan lebih banyak aktiviti sukan khususnya yang tidak melibatkan sentuhan fizikal, dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Majlis Keselamatan Negara (MKN) esok.

Beliau berkata beberapa negeri yang akan bertukar status kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula Jumaat akan membawa lebih banyak kelonggaran sektor sukan, termasuk penganjuran kejohanan dan aktiviti yang boleh merancakkan lagi industri sukan.

“Insya-Allah, KBS akan terus berusaha meyakinkan kerajaan untuk membuka lebih banyak sektor sukan secara selamat dan berfasa dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Usaha memerangi pandemik COVID-19 perlu diteruskan dan kita sama-sama harus memainkan peranan dalam komuniti sukan untuk mengimbangi antara kesejahteraan hidup dengan kelangsungan ekonomi,” katanya.

Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa di kawasan PKP yang masih berkuat kuasa iaitu di Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang ketika ini, hanya 10 jenis sukan dibenarkan secara terhad dan dalam kawalan seperti diumumkan minggu lepas.

Leave a Reply