Senarai pemain KUFC sudah lengkap

Hebahkan !!!

11/02/2021 04:40 PM

KOTA BHARU, 11 Feb — Kelab Bola Sepak Kelantan United (KUFC) telah melengkapkan senarai kesemua 24 pemain pasukan itu bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini yang dijangka bermula awal Mac ini.

Penolong Pengurus KUFC Nik Khuzaimi Nudin berkata dua pemain pertahanan masing-masing seorang import dan tempatan telah menandatangani kontrak bersama pasukan itu minggu lepas, sekali gus mengisi kekosongan senarai pemain sebelum ini.

“Kehadiran kedua-dua pemain pertahanan itu, Mohamad Qayyum Marjoni Sabil dan Shuhei Fukai dari Jepun melengkapkan senarai nama skuad KUFC bagi menghadapi saingan Liga-M khusunya kempen Liga Premier 2021.

“Kedua-dua pemain itu direkrut masuk kerana mempunyai pengalaman beraksi di peringkat tertinggi bersesuaian perancangan pasukan bagi menggabungkan pemain muda dan pemain berpengalaman,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Mohamad Qayyum, 26, pernah menyarung jersi pasukan PKNS FC (2018-2019) sebelum berhijrah ke Kuala Lumpur musim lepas manakala Shuhei Fukai, 27, adalah pemain berpengalaman dalam saingan Liga 3 Jepun.

Nik Khuzaimi berkata, dengan lengkapnya senarai penuh pemain KUFC, barisan kejurulatihan dapat merancakkan corak latihan apabila dibenarkan kembali menjalani latihan secara berpasukan di padang.

“Seorang lagi pemain import legenda Jepun yang telah menandatangani kontrak bulan lepas, Masashi Motoyama juga sudah tiba di Malaysia dan dijangka tiba di Kota Bharu minggu depan selepas kuarantin wajib di Kuala Lumpur.

“Ketika ini semua pemain menjalankan latihan di rumah dengan program latihan disusun oleh barisan jurulatih bagi memastikan pemain kekal cergas memandangkan tidak dibenarkan menjalani latihan berpasukan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.

Musim ini, KUFC mempertaruhkan kekuatan pasukan hasil gabungan pemain muda berusia bawah 26 tahun dan beberapa pemain berpengalaman antaranya Mohd Badhri Mohd Radzi, Mohd Fitri Omar, Fahkrul Zaman Wan Abdullah Zawawi dan Syahrul Azwari Ibrahim.

Leave a Reply