Presiden PAFA letak jawatan

Hebahkan !!!


Ahmad Faizal Azumu

21/01/2021 02:49 PM

IPOH, 21 Jan — Bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengumumkan peletakan jawatan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) berkuat kuasa hari ini.

Beliau berkata keputusan itu dibuat bagi memastikan krisis kewangan PAFA dapat diselesaikan secepat mungkin memandangkan selepas tidak lagi menjadi menteri besar, sukar bagi beliau mendapatkan tajaan sama ada daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau swasta.

“Penting bagi para pemain dan pegawai untuk mendapatkan sumbangan daripada pihak kerajaan negeri serta GLC untuk mereka meneruskan kehidupan dan menyara keluarga.

“Bayaran gaji para pemain serta pegawai telah tertunggak sejak pertengahan November 2020 hingga kini yang melibatkan kos hampir RM2 juta setiap bulan,” katanya dalam satu sidang media di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Faizal berkata mengikut perancangan awal, beliau berhasrat melepaskan jawatan ketika kongres PAFA yang dijadualkan berlangsung selewat-lewatnya bulan hadapan.

“Tetapi saya membuat keputusan untuk lepas jawatan secepat mungkin kerana khuatir para pemain akan berhijrah ke pasukan lain sekiranya pembayaran gaji tidak dibuat dalam masa terdekat,” katanya sambil menambah pendaftaran proses penswastaan kelab Perak FC, logo, jersi serta kontrak pemain sudah diselesaikan.

Ahmad Faizal dipilih sebagai Presiden PAFA pada 6 Dis 2018.

Sementara itu, Timbalan Presiden PAFA yang juga pengurus pasukan The Bos Gaurus Datuk Adly Shah Ahmad Tah turut mengumumkan peletakan jawatan hari ini.

Katanya keputusan itu dibuat bagi menghormati tindakan presiden melepaskan jawatan serta kelangsungan pasukan.

“Keputusan ini dibuat atas dasar tanggungjawab, tiada guna ada jawatan tetapi tidak boleh membangunkan pasukan,” katanya yang turut hadir pada sidang media tersebut.

 

Leave a Reply