China seru wujudkan bumi yang harmoni, inklusif

Hebahkan !!!

12/01/2021 02:53 PM

BEIJING, 12 Jan — China menyeru dunia bersama-sama berusaha mewujudkan simbiosis antara manusia dengan alam sekitar, selain menjadikan bumi tempat yang bersih, indah, terbuka dan inklusif.

Naib Perdana Menteri China, Han Zheng berkata demikian dalam ucaptamanya sempena sidang kemuncak Satu Planet, bertemakan “Perlindungan Biodiversiti ” secara maya pada Isnin.

Han turut menyeru semua pihak berganding bahu dan bertindak segera untuk memastikan hasil positif tercapai pada Persidangan ke-15 Negara-negara Anggota Konvensyen Kepelbagaian Biologi (COP15) yang bakal diadakan di Kunming, China bagi menegakkan Rangka Kerja Biodiversiti Global Pasca 2020 (GBF) dan menggariskan rangka tindakan perlindungan biodiversiti dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Tegas beliau, semua pihak perlu meningkatkan komunikasi untuk mewujudkan situasi sama menang; mengkaji dan menetapkan sasaran tindakan pasca 2020 secara saintifik bagi memastikan supaya ia rasional dan mampu dilaksanakan; selain meningkatkan mobilisasi sumber dan jaminan bagi meningkatkan keupayaan penguatkuasaan di negara-negara membangun.

Dalam perkembangan lain, Han turut mengumumkan hasil yang dicapai China dalam usaha perlindungan alam sekitar dengan langkah-langkah seperti membentuk sistem taman negara dan melaksanakan projek-projek utama untuk perlindungan biodiversiti.

Untuk rekod, sidang kemuncak itu dianjurkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Bank Dunia dan Perancis pada 2017, dengan perbincangan menumpukan kepada agenda iklim global dan tadbir urus alam sekitar.

Leave a Reply