TNB tutup 156 pencawang elektrik di Pahang

Hebahkan !!!

KUANTAN: Tenaga Nasional Berhad (TNB) menutup sementara bekalan tenaga ke 156 pencawang elektrik di Pahang susulan banjir di beberapa daerah di negeri ini.

Pengurus Besar TNB Pahang, Datuk Baderul Sham Saad, berkata 40 pencawang elektrik ditutup di Lipis diikuti Raub (40) Maran dan Jengka (28) serta Jerantut (22).

Katanya, di Kuantan sebanyak 16 pencawang elektirk ditutup, Temerloh (15) dan masing-masing satu di Bentong serta Rompin.

“Berikutan itu seramai 3,756 pengguna di negeri ini mengalami gangguan bekalan elektrik,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, pencawang elektrik yang dihenti tugas atau ditutup sementara menerima bekalan tenaga sementara melalui set jana kuasa mudah alih.

“Kita akan melakukan penyambungan semula bekalan elektrik selepas banjir surut sepenuhnya di kawasan terbabit.

Katanya, TNB Pahang turut mengaktifkan Bilik Gerakan untuk memantau keadaan dan menyalurkan maklumat terkini berkaitan bekalan elektrik.

Baderul Sham berkata, pengguna di kawasan banjir dinasihati mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya diminta berpindah dan menghubungi TNB Careline di talian 15454 jika ada tiang TNB yang beralih atau tumbang.

“Berhati-hati ketika menggunakan peralatan elektrik jika rumah dan premis dinaiki air. Elakkan menyentuh alat elektrik atau suis dengan tangan yang basah dan lembap kerana ia boleh menyebabkan renjatan elektrik berlaku.

“Bagi pengguna yang mengalami kerosakan sistem pendawaian serta sambungan bekalan elektrik selepas banjir, disaran mendapatkan khidmat kontraktor pendawaian berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga bagi memeriksa pendawaian di dalam rumah dan premis perniagaan mereka yang dinaiki air,” katanya.

BH online

Leave a Reply