Kazakhstan adakan pilihan raya Parlimen 10 Jan

Hebahkan !!!


Bolat Imanbayev

24/12/2020 05:54 PM

KUALA LUMPUR, 24 Dis — Kazakhstan bakal mengadakan pilihan raya untuk memilih anggota Mazhilis (Dewan Rakyat) pada 10 Januari 2021, dan turut membabitkan rakyat negara itu yang berada di Malaysia.

Menurut Duta Kazakhstan ke Malaysia Bolat Imanbayev, kedutaan telah memulakan persiapan untuk proses pengundian, termasuk menghubungi dan mendaftarkan warganya yang berusia 18 tahun ke atas dan yang layak mengundi.

Beliau berkata rakyat Kazakhstan di Malaysia akan mengundi di kedutaan.

“Ketika ini terdapat 80 hingga 90 warga Kazakhstan menetap di sini dan layak mengundi. Kami telah mendaftarkan mereka untuk pilihan raya itu,” katanya pada sidang media di kedutaan di sini, Selasa.

Mereka terdiri pelajar, ahli perniagaan, serta kakitangan kedutaan dan ahli keluarga.

Disebabkan pilihan raya diadakan di tengah pandemik COVID-19, Imanbayev berkata kedutaan menetapkan garis panduan keselamatan dan langkah kebersihan untuk memastikan ia mematuhi prosedur operasi standard Malaysia.

“Kerajaan Kazakhstan tekad memastikan pilihan raya diadakan dengan selamat dan mengikuti perkembangan pandemik COVID-19, dan mengeluarkan protokol terbaik untuk memastikan warganya dapat menunaikan tanggungjawab mereka,” katanya.

Kedutaan Kazakhstan, beralamat di 115, Jalan Ampang Hilir, Kuala Lumpur, akan dibuka dari 7 pagi hingga 8 malam pada 10 Januari bagi proses mengundi.

Pilihan raya kali ini menyaksikan rakyat bakal memilih 98 wakil ke Parlimen bagi penggal baharu untuk tempoh lima tahun bermula Mac 2021.

“Pemilihan masih dalam tempoh masa yang ditetapkan perlembagaan iaitu dua bulan sebelum berakhirnya penggal perwakilan sekarang,” katanya.

Menurut Imanbayev, sejak 2007, Mazhilis terdiri 107 timbalan menteri, dengan 98 daripadanya dipilih berdasarkan undi elektoral manakala sembilan lagi anggota bebas dipilih Dewan Parlimen.

Komposisi sekarang terdiri tiga parti politik, yang pada 2016 mendapat lebih tujuh peratus undi diperlukan untuk memenangi hak mewakilkan timbalan mereka ke Dewan Rakyat, katanya.

Terdapat lima parti politik berdaftar di Kazakhstan, iaitu Parti “Nur Otan”, Parti Demokratik Kazakhstan “Ak Zhol”, Parti Rakyat Kazakhstan, Parti Demokratik Patriotik Rakyat “Auyl”, dan Parti “Adal”.

Leave a Reply