Zainal Abidin guna ramuan tersendiri bentuk kesebelasan utama MUFC

Hebahkan !!!


Zainal Abidin Hassan

21/12/2020 10:32 PM

MELAKA, 21 Dis — Pengendali pasukan Kelab Bola Sepak Melaka United (MUFC) Zainal Abidin Hassan, tidak bimbang dengan pengurangan peruntukan keseluruhan untuk skuad Sang Kancil dalam menyediakan pasukan bimbingannya mengharungi kempen Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Jurulatih berusia 59 tahun itu percaya, pengurangan peruntukan itu tidak akan memberi kesan, sebaliknya beliau yakin mampu membentuk kesebelasan utama skuad itu dengan ramuan tersendiri.

Beliau memberi bayangan bahawa 70 peratus pemain musim lepas dikekalkan, termasuk dua pemain import iaitu pemain kebangsaan Haiti Sony Norde dan pemain dari Korea Selatan Jang Suk Won.

“Pihak pengurusan telah berunding dan membentangkan perancangan kewangan, kepada para pemain yang mahu disambung khidmat mereka sejak dua bulan lepas.

“Ketika saya dinamakan kembali sebagai jurulatih, kesemua pihak telah berbincang dan para pemain tersebut maklum mengenai hal itu, selain menerima dan bersedia dengan pengurangan serta penolakan gaji tersebut,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Zainal Abidin berkata barisan kejurulatihan telah mengenal pasti beberapa pemain baharu yang akan dibawa masuk dan sedang menunggu persetujuan kedua-dua pihak kerana rundingan dengan mereka masih dilakukan.

“Terdapat pemain baharu yang kita bawa masuk adalah bekas pemain kebangsaan dan juga pemain baharu yang kita lihat berpotensi untuk menembusi skuad kebangsaan.

“MUFC yakin senarai itu akan dapat dimuktamadkan pada minggu hadapan,” katanya.

Zainal Abidin telah membimbing Melaka United dan menamatkan saingan Liga Super musim ini pada kedudukan kesembilan selepas mengumpul 11 mata hasil daripada empat kemenangan, dua kali seri dan lima kekalahan.

Leave a Reply