Di sebalik pandemik, projek BRI kekal teguh, catat pencapaian penting

Hebahkan !!!

Tang Rui

KUALA LUMPUR, 18 Dis — Projek Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) terbukti teguh bertahan dan tetap mencatatkan pencapaian penting pada 2020 walaupun ketika dunia dilanda wabak COVID-19, kata Kuasa Usaha Kedutaan China di Malaysia Tang Rui.

Beliau berkata wabak itu tidak menjejaskan momentum BRI, sebaliknya membuktikan kerjasama di bawah kerangka BRI kekal teguh dan utuh.

Katanya, di bawah kerangka BRI terdapat lebih 200 perjanjian mengenai pelbagai inisiatif kerjasama dengan penyertaan aktif 138 negara dan 30 pertubuhan antarabangsa.

“Sekarang kita berada di penghujung 2020 dan jika kita imbau apa yang berlaku tahun ini kami gembira mengetahui BRI mampu bertahan daripada apa yang dijangka di peringkat awal,” katanya semasa berucap pada International Forum on New Inclusive Asia 2020 secara maya pada Khamis.

Pada 2019, terdapat 29 perjanjian kerjasama antara kerajaan, sekali gus meluaskan lagi jaringan kerjasama antarabangsa sedia ada, katanya.

Tang berkata kerjasama ekonomi dalam kerangka BRI memperlihatkan kekukuhan. Pada tiga suku pertama 2020, jumlah dagangan antara China dan negara-negara BRI menunjukkan lonjakan daripada trend menurun dan mencecah 6.75 trilion yuan (US$1.03 trilion), dengan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 1.5 peratus atau 0.8 peratus lebih tinggi berbanding kadar pertumbuhan dagangan keseluruhan China.

Beliau berkata, FDI China di negara BRI turut mencecah US$13 bilion, menokok 7.7 peratus.

Katanya, majoriti projek pada awalnya terjejas akibat pandemik tetapi kini kembali ke landasan.

“Kami menyaksikan aliran kemajuan dalam banyak projek, banyak projek BRI di Kemboja, Laos, Bangladesh, Rusia, Serbia, Kenya, Hungary dan di seluruh dunia.

“Dan infrastruktur ini akan menjadi tulang belakang kepada pemulihan ekonomi dan kestabilan sosial,” katanya.

Beliau turut berharap BRI akan memainkan peranan lebih besar selepas era COVID-19 termasuk peranan dalam program Kesihatan Laluan Sutera dalam meningkatkan kerjasama kesihatan awam dan infrastruktur dalam kalangan negara BRI.

Beliau berkata inisiatif Laluan Sutera Digital diharapkan dapat membantu merealisasikan lebih banyak peluang ‘cloud commerce’ dan ekonomi digital, sambil mendorong kerjasama penting dalam bidang seperti membina infrastruktur diperlukan, mengisi jurang digital dan menghubungkan lebih ramai orang menerusi pelbagai peluang.

“Lebih-lebih lagi, e-dagang laluan sutera telah menjadi fokus utama Laluan Sutera Digital untuk beberapa tahun kebelakangan ini dan akan menjadi tonggak kekuatan yang menyokong pertumbuhan ekonomi negara-negara BRI selepas COVID-19 berakhir,” tambah Tang.

Leave a Reply