Bunga telang bukan sekadar pewarna semula jadi, inovasi pembuatan kek

Hebahkan !!!

20/12/2020 10:13 PM

Oleh Siti Fauziah Hasan

SEREMBAN, 20 Dis — Bunga telang atau butterfly-pea (Clitoria ternatea) sangat sinonim penggunaannya sebagai pewarna makanan khususnya hidangan nasi kerabu yang begitu popular di negeri pantai timur.

Justeru, berinspirasikan sumber alam yang boleh dipelbagaikan itu mencetuskan idea buat suri rumah, Khalilah Mohamad, 37, untuk menggunakannya dalam proses pembuatan kek yang diberi nama Nyonya Tai Tai di kedainya, dekat sini.

Kek yang dilapisi kaya gula melaka dan kelapa parut di dalamnya selain kelopak bunga telang segar diletakkan di atas kek itu ternyata memberi kepuasan kepada penggemar pencuci mulut itu.

Anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan itu berkata idea menghasilkan kek itu adalah daripada kuih tradisional masyarakat Cina Peranakan Melaka iaitu Pulut Tai Tai.

“Pulut Tai Tai di Melaka itu biasanya dicicah dengan seri kaya, sangat unik, jadi kami variasikan untuk dijadikan kek, yang turut dilapiskan dengan seri kaya.

“Biasa kalau kita tengok, bunga telang orang guna untuk buat nasi kerabu. Jadi, saya terfikir kenapa tidak saya pelbagaikannya dan gunakan dalam kek selain dapat warnanya yang menarik, ia juga banyak khasiat,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Ibu kepada seorang anak lelaki itu berkata berikutan kesukaran mendapatkan stok bunga telang dalam kuantiti yang banyak, dia membuat pembelian bunga telang kering secara dalam talian setiap bulan.

Jelasnya, bunga telang kering itu akan direbus terlebih dahulu bagi mendapatkan jus yang kemudian akan dicampurkan dengan santan dan kelapa kering manakala kelopak bunga segar digunakan sebagai hiasan.

“Bunga telang yang segar itu saya peroleh daripada adik yang ada tanam pokok itu tetapi tidak banyak, sebab itu kena beli daripada orang lain. Saya tidak guna sebarang pewarna tiruan dalam kek, semua daripada pewarna bunga telang ini selain hanya menggunakan bahan premium untuk menghasilkannya,” katanya.

Khalilah berkata dia memerlukan sekurang-kurangnya 250 gram atau kira-kira 20 kuntum bunga telang bagi menghasilkan sebiji kek yang dijual pada harga RM13 sepotong manakala kek cawan pula pada harga RM6.50 setiap satu.

Mengulas lanjut, Khalilah berkata kek bunga telang itu mula dihasilkan pada tahun 2016 namun sudah menjalankan perniagaan menjual kek secara dalam talian sejak 10 tahun lepas sebelum berjaya membuka kedai kek, Kly Cakes sendiri pada awal bulan ini.

Menurut beliau kek bunga telang adalah antara yang mendapat permintaan tinggi di kedai keknya malah turut mempunyai peminat tersendiri yang sukakan kelainan rasa pada kek itu.

Anak ketiga daripada lima beradik itu berkata selain kek Nyonya Tai Tai, terdapat lebih 20 variasi kek di kedainya termasuklah kek oren pistachio, burntcheesecake dan double ferrero chocolate cake.

Mengenai perancangan masa depannya, wanita lulusan Jurusan Pendidikan (Komputer Industri) dari Universiti Kebangsaan Malaysia UKM itu berkata dia berhasrat membuka lebih banyak cawangan kedai kek seluruh negara.

Sementara itu, Pensyarah Pusat Pengajian Pemakanan dan Dietetik, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Teknologi Mara Kampus Puncak Alam, Selangor Prof Madya Dr Norazmir Md Nor berkata bunga telang bukan sahaja digunakan sebagai pewarna dalam makanan, malah turut mempunyai banyak khasiat untuk kesihatan.

“Ini termasuklah sebagai bahan mengurangkan sakit kepala, melegakan sistem penghadaman dan pembuka selera makan selain mengubati insomnia dan stres, ini kerana kandungan antimurung yang ada padanya memberikan rasa tenang dan mampu meredakan tekanan,” katanya.

Tumbuhan itu biasanya mempunyai warna sama ada putih, biru atau ungu dan dikenali dengan nama bunga biru, bunga telang, kacang telang, kelang dan kembang telang dalam kalangan masyarakat, katanya.

Leave a Reply