Polis bongkar makmal mini proses syabu dalam ladang kelapa sawit

Hebahkan !!!

TAPAH, 5 Nov — Polis berjaya menumpaskan sindiket pemprosesan dadah disyaki syabu yang menjadikan kawasan ladang kelapa sawit sebagai makmal mini di Chenderiang di sini semalam.

Serbuan yang dijalankan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman di ladang berkenaan pada kira-kira pukul 9.15 pagi membawa kepada penahanan enam lelaki termasuk seorang warga Myanmar bersama rampasan syabu bernilai anggaran RM1.6 juta.

Pengarah JSJN Bukit Aman Datuk Razarudin Husain berkata pihaknya turut menahan empat lelaki tempatan dalam serbuan berasingan di Kuala Lumpur serta Seri Kembangan dan Shah Alam, Selangor pada masa yang sama.

“Selain syabu seberat 37.2 kilogram, polis turut merampas tujuh kereta, sebuah motosikal, tiga utas jam tangan, barang kemas dan wang tunai berjumlah RM115,490,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata siasatan awal mendapati makmal memproses dadah yang didirikan dengan khemah itu mula beroperasi pada Mei lepas dan jumlah dadah yang boleh digunakan seramai 186,000 penagih itu diproses untuk dijual di sekitar Lembah Klang.

Razarudin berkata polis sedang mengesan pemilik ladang yang menjadi lokasi pemprosesan dadah berkenaan bagi membantu siasatan lanjut.

Katanya, semakan lanjut mendapati dua daripada suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah manakala ujian saringan pula mendapati seorang daripada suspek positif dadah jenis ganja.

“Kesemua mereka yang berumur 17 hingga 45 tahun kini direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan tindakan juga diambil di bawah ADB (Pelucuthakan Harta) 1988,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *