Lima beranak tinggal di rumah berdinding, lantai buluh

Hebahkan !!!

BALING: Lima sekeluarga terpaksa tinggal di sebuah rumah berdinding dan berlantaikan buluh kerana kesempitan hidup di Kampung Padang, Rambong Batu 7, Jalan Kroh di sini.

Lebih memeritkan salah seorang daripada tiga anak keluarga tersebut yang berusia 12 tahun merupakan orang kurang upaya (OKU).

Akilah Yahaya, 36, berkata, rumah tersebut dibina oleh suaminya, Jasnizam Abd. Hamid, 43, dengan menggunakan buluh yang terdapat di sekitar kampung tersebut.

Katanya, suaminya yang bekerja kampung dengan pendapatan kira-kira RM800 sebulan terpaksa membina rumah daripada buluh kerana dapat menjimatkan kos pembinaan selain disiapkan secara berperingkat-peringkat.

“Rumah buluh ini dibina oleh suami saya setelah kami tidak mampu untuk menyewa rumah kerana tidak mempunyai pendapatan tetap,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Akilah memberitahu, tiga orang anaknya berusia antara 4 hingga 12 tahun manakala anaknya sulungnya, Anis Nurdini pula merupakan OKU.

“Pada masa ini, Anis Nurdini menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350 sebulan,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, dia dan suaminya lega apabila dimaklumkan bakal mendapat sumbangan sebuah rumah baharu sumbangan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK).

Menurutnya, Bahagian Pembangunan dan Penyelenggaraan (BPP) LZNK telah mengunjungi rumahnya sebelum ini dan memaklumkan keluarganya akan menerima sebuah rumah baharu tidak lama lagi.

“Saya harapkan rumah baharu itu dapat dibina dalam masa terdekat kerana saya ingin melihat anak-anak saya dapat mendiami rumah lebih selesa,” katanya lagi. -UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *