Lelaki lari selepas dibebaskan SPRM kini direman di bawah POCA

Hebahkan !!!

KUALA LUMPUR, 31 Okt — Seorang lelaki yang menjadi tumpuan umum kerana berjaya melarikan diri daripada ditahan polis sejurus dibebaskan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di ibu pejabat suruhanjaya itu pada 11 Okt lepas, kini direman di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur SAC Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata perintah reman selama 21 hari itu yang berkuat kuasa hingga 20 Nov ini bagi membolehkan siasatan lanjut terhadap suspek berhubung sindiket Macau Scam dan perjudian dalam talian.

“Perintah reman itu dibacakan terhadap suspek di Lokap Berpusat Jinjang pagi ini,” katanya ketika dihubungi di sini.

Lelaki itu yang berjaya diberkas semula oleh pihak berkuasa pada 27 Okt lalu, sebelum ini direman tiga hari hingga semalam untuk membantu siasatan menurut Seksyen 4(1) (c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Pada 13 Okt lepas, SPRM mengesahkan seorang suspek sindiket ‘cuci duit’ atau pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan perniagaan beberapa selebriti tanah air, melarikan diri ketika hendak ditahan oleh polis sejurus dibebaskan SPRM.

Lelaki itu dilaporkan memanjat pagar dengan dibantu oleh pengawal peribadinya sejurus dibebaskan oleh SPRM dalam kawasan ibu pejabat suruhanjaya itu di Putrajaya.
Pada 16 Okt, polis mendedahkan kepada umum butiran suspek tersebut yang dikehendaki bagi membantu siasatan tiga kes melibatkan penganjuran judi dalam talian di sekitar ibu negara dan Selangor.

Suspek juga dikatakan menjadi penyelaras aktiviti Macau Scam menyasarkan rakyat China di republik itu.

Pada 27 Okt lepas, pihak berkuasa dilaporkan berjaya memberkas lelaki itu yang bersembunyi di sebuah hotel di kawasan peranginan di luar Lembah Klang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur SAC Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *