Tertekan pedal minyak, warga emas rempuh kedai perabot

Hebahkan !!!

MELAKA, 24 Okt  — Sebuah kereta merempuh sebuah kedai perabot dan elektrik di Plaza Pandan Malim di sini hari ini selepas pemandunya, seorang wanita warga emas, dipercayai tersilap semasa hendak menekan brek, apabila dia sebaliknya menekan pedal minyak.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Afzanizar Ahmad berkata kejadian pada pukul 10.30 pagi itu menyebabkan seorang pelanggan kedai terbabit mengalami luka di kepala, muka, tangan dan kaki serta sakit pinggang.

“Siasatan awal mendapati pemandu wanita itu sedang mencari tempat parkir, apabila secara tiba-tiba tayar hadapan sebelah kiri dikatakan berbunyi, menyebabkan dia menekan brek untuk berhenti, namun dia telah tertekan pedal minyak dan terbabas ke kiri.

“Kereta jenis MyVi yang dipandu wanita itu kemudiannya masuk ke dalam kedai terbabit selain turut melanggar seorang pelanggan wanita berusia 45 tahun dan beberapa barangan eletrik di situ,” katanya.

Afzanizar berkata pelanggan yang cedera itu mendapatkan rawatan di Hospital Melaka dan kes sedang disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara tidak cermat atau tanpa perhatian munasabah sehingga membahayakan orang lain.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *