38 lagi warga STIAS disahkan positif COVID-19

Hebahkan !!!

SEREMBAN, 24 Okt — Sekolah Tinggi Islam As Sofa (STIAS) Senawang hari ini mengesahkan 38 lagi warganya membabitkan tiga kakitangan dan 35 pelajar positif COVID-19, menjadikan jumlah keseluruhan mereka yang positif setakat ini 98 orang.

Pengerusi pengelolanya, Abdullah Abdol Razak dalam kenyataan berkata keputusan itu diperoleh hari ini hasil ujian saringan calitan yang dijalankan Kementerian Kesihatan (KKM) ke atas 127 pelajar dan kakitangan STIAS pada Selasa lepas.

“Bagaimanapun, kesemua 38 kes yang positif tidak menunjukkan sebarang gejala kecuali tiga pelajar mempunyai gejala. Kesemua mereka yang positif telah pun dipindahkan ke pusat kuarantin pada pukul 4.15 petang tadi.

“Bagi pelajar yang masih menunggu keputusan saringan, mereka ditempatkan di bilik kuarantin asrama manakala individu yang merupakan kontak rapat dengan pesakit diminta untuk melakukan pemeriksaan serta kuarantin kendiri di kediaman masing-masing,” katanya.

Pada Khamis lepas, seramai 33 pelajar sekolah berkenaan disahkan positif COVID-19 dan dikuti 27 lagi warganya membabitkan lapan kakitangan dan 19 pelajar pada Jumaat.

Negeri Sembilan hari ini merekodkan 96 kes baharu COVID-19 yang kesemuanya di Seremban, menjadikan jumlah keseluruhan kes sebanyak 1,290 kes.

Seremban merekodkan sebanyak 179 kes aktif COVID-19, diikuti Rembau (10), Port Dickson (lima), Tampin (empat) manakala Jelebu, Kuala Pilah dan Jempol masing-masing tiada kes direkodkan.

— BERNAMA

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *