Lelaki ceroboh hutan untuk tanam durian ditahan

Hebahkan !!!
Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) menahan lelaki yang sedang leka meratakan tanah di Hutan Simpan Kekal Hutan Simpan Gunung Raya, Langkawi, semalam. – Foto ihsan JPNK

ALOR SETAR: Seorang lelaki ditahan ketika leka meratakan tanah secara haram di Hutan Simpan Kekal Langkawi untuk menanam durian, semalam.

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK), Roslan Rani, berkata lelaki berusia 47 tahun itu dikesan melakukan kegiatan itu di Kompartmen 1 Hutan Simpan Gunung Raya, Langkawi, sejak seminggu lalu.

Katanya hasil maklumat dan risikan, lelaki tempatan itu berjaya ditahan jam 6 petang semalam.

“Turut dirampas adalah mesin gergaji, motosikal, parang, cangkul dan penggali lubang yang digunakan bagi aktiviti berkenaan, berdasarkan siasatan awal, lelaki itu dipercayai melakukan penerokaan bagi menanam durian.

“Dianggarkan pelbagai jenis pokok di tanah seluas 0.2 hektar sudah ditebang dan dibersihkan tanpa kebenaran, nilai kerugian masih dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Antara peralatan yang digunakan bagi meratakan tanah di Hutan Simpan Kekal Hutan Simpan Gunung Raya, Langkawi, semalam. - Foto ihsan JPNK
Antara peralatan yang digunakan bagi meratakan tanah di Hutan Simpan Kekal Hutan Simpan Gunung Raya, Langkawi, semalam. – Foto ihsan JPNK

 

Roslan berkata, lelaki terbabit dibawa ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Langkawi untuk siasatan lanjut.

Katanya, kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 81(1)(e) Akta Perhutanan Negara 1985 kerana membersih dan membajak tanah untuk tanaman jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

“Selain itu, lelaki yang merupakan penduduk pulau itu juga akan disiasat mengikut Seksyen 47(1) akta yang sama iaitu memasuki hutan tanpa kebenaran yang boleh didenda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

“Lelaki terbabit ditahan reman 24 jam di lokap IPD Langkawi dan mesin gergaji serta peralatan yang digunakan akan disita,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *