Terpaksa menunggu 30 tahun untuk resolusi Majlis Keselamatan PBB dilaksanakan – presiden Azerbaijan

Hebahkan !!!

KUALA LUMPUR, 21 Okt — Azerbaijan terpaksa menunggu hampir 30 tahun untuk menyaksikan pelaksanaan keempat-empat resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai konflik Armenia-Azerbaijan dan wilayah yang diduduki, kata Presidennya Ilham Aliyev.

Namun, katanya semua resolusi ini hanya sekadar di atas kertas kerana tiada langsung kehendak politik dan mekanisme untuk melaksanakan resolusi itu.

“Malangnya, undang-undang antarabangsa tidak berfungsi dalam hubungan antarabangsa. Jika benar ia wujud empat resolusi itu sudah lama dilaksanakan,” kata Aliyev dalam ucapannya pada Selasa.

Beliau berkata Azerbaijan telah berusaha sedaya mungkin di peringkat diplomatik dan Perhimpunan Agung PBB, Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM), Majlis Eropah, Parlimen Eropah, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan pertubuhan yang lain, sudah menerima pakai resolusi.

“Dokumen yang kami mulakan dengan Kesatuan Eropah ini juga menyokong ketakbolehcabulan sempadan, kedaulatan dan integriti wilayah negara kita. Itulah asas untuk menyelesaikan konflik ini,” kata Aliyev.

Selama hampir 30 tahun rundingan untuk menyelesaikan konflik masih tidak membuahkan sebarang hasil, tegasnya.

“Benteng yang dibina Armenia di wilayah yang diduduki memperlihatkan keengganan mereka menyerahkan kawasan ini. Mereka sekadar menipu kita dan perantara antarabangsa. Andai mereka benar mahu pergi, mereka tidak akan membinanya”.

Aliyev berkata selepas mengusir warga Azerbaijan dari tanah asal, kini mereka berusaha menarik sokongan negara lain.

Armenia juga didakwa cuba memusnahkan kawasan Azerbaijan di wilayah jajahan dan berusaha menghapus warisan sejarah serta budaya yang ada.

“Mengapa masyarakat antarabangsa tidak mengenakan sekatan ke atas negara yang sudah menjadi penceroboh selama 30 tahun? Saya berulang kali mengatakan sekatan mesti dikenakan”, katanya.

Mengulas situasi semasa, Aliyev berkata Azerbaijan bertindak melancarkan operasi ketenteraan hanya di wilayah miliknya yang diiktiraf masyarakat antarabangsa.

“Kami tidak melakukan operasi di wilayah Armenia,” katanya.

“Mereka mengubah nama bandar, mengubah sempadan daerah malah menukar nama kampung kami, ingin menjadikan tanah kami milik Armenia, jangan mimpi mereka dapat melakukannnya. Semangat Azerbaijan tidak mudah untuk dilunturkan,” ujarnya lagi.

Presiden berkata Azerbaijan akan melakukan apa cara sekalipun untuk memastikan tanah yang dijajah berada dalam gengaman kami semula serta mengembalikan kedamaian dan ketenangan di wilayah-wilayah terbabit.

Pertempuran terbaharu meletus pada 27 September mengakibatkan korban nyawa termasuk orang awam di kedua-dua pihak. Azerbaijan dan Armenia saling menyalahkan antara satu sama lain yang bertanggungjawab memulakan pertempuran.

Pada 10 Oktober Azerbaijan dan Armenia bersetuju mengadakan gencatan senjata kemanusiaan yang ditaja Rusia, membolehkan pertukaran tahanan dan penyerahan mayat mangsa yang terkorban di Nagorno-Karabakh.

Sejak itu Baku dan Yerevan saling menuduh masing-masing melanggar gencatan senjata. Gencatan senjata terkini disepakati pada 17 Oktober.

Pertempran terbaru itu disifatkan paling serius sejak 2016. Pada Julai 2020, tentera kedua-dua negara masih bertempur di sepanjang sempadan bersama.

Sebelum ini, Majlis Keselamatan PBB menerima pakai empat resolusi antara lain menggesa pengunduran semua pasukan penjajah dari wilayah Azerbaijan. Kumpulan Minsk OSCE – yang dipengerusikan bersama Perancis, Rusia dan Amerika Syarikar – dibentuk pada 1992 untuk mencari penyelesaian damai untuk konflik itu, tetapi menemui jalan buntu.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *