Hospital medan terima 12 pesakit pada hari pertama operasi

Hebahkan !!!


PUTRAJAYA, 20 Okt — Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Tawau yang mula beroperasi hari ini menerima 12 pesakit bukan COVID-19, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata Hospital Medan itu akan menerima lebih ramai pesakit bukan COVID-19 bagi rawatan perubatan, pediatrik, sakit puan dan sebagainya, malah pembedahan juga boleh dijalankan di hospital berkenaan yang terletak hanya lima minit dari Hospital Tawau.

“.. jadi Hospital Tawau akan diguna pakai untuk pesakit-pesakit COVID-19, ini adalah kerjasama di antara KKM dan ATM,” katanya pada sidang media perkembangan COVID-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di sini hari ini.

Sementara itu di TAWAU, Sabah, Pengarah Hospital Tawau Dr Norlimah Arsat berkata pesakit bukan COVID-19 dan stabil yang dirawat di Hospital Medan itu tidak dibenarkan menerima pelawat, bagi mengelakkan sebarang penularan COVID-19.

Beliau yang ditemui di majlis pembukaan Hospital Medan berkenaan hari ini berkata, kewujudan hospital itu akan membolehkan Hospital Tawau memberi tumpuan urusan merawat pesakit COVID-19 yang kritikal, dan menurutnya jumlah katil di Hospital Tawau juga boleh tambah khusus bagi merawat pesakit COVID-19 di tahap tiga hingga lima.

Komander Hospital Medan, Kolonel Dr Shamsul Bahary Muhamad pula ketika ditemui di majlis sama berkata seramai 141 petugas kesihatan termasuk 10 pegawai dan 61 anggota lain-lain pangkat ATM bertugas di hospital berkenaan.

Katanya beliau berharap kewujudan Hospital Medan itu akan dapat mengurangkan beban Hospital Tawau untuk merawat pesakit COVID-19 yang dijangka meningkat.

Sementara itu Pegawai Kesihatan, Pejabat Kesihatan Kawasan Tawau, Dr G Navindran berkata Tawau bakal memiliki sebuah Makmal Molekul untuk memproses keputusan ujian COVID-19, yang dijangka siap dalam tempoh dua minggu ini.

Beliau berkata ketika ini kerja-kerja pembangunan makmal yang terletak di Klinik Kesihatan Tawau, Kubota itu sedang giat dijalankan, dan apabila siap, keputusan berkaitan COVID-19 akan boleh diketahui dengan lebih pantas.

Menurutnya ketika ini ujian swab dihantar ke Makmal DGi di Kota Kinabalu yang mampu memproses 1,000 kes setiap hari selain makmal kesihatan awam di Hospital Queen Elizabeth, dan makmal Universiti Malaysia Sabah.

Dr Navindran menganggarkan sekitar 8,000 ujian saringan telah dijalankan di Tawau, namun ketika ini 3,000 hingga 4,000 ujian saringan belum diproses, kerana menurutnya semua daerah di Sabah yang menjalankan saringan turut menghantar sampel ke makmal yang sama di Kota Kinabalu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *