ATM bantu tangani penularan COVID-19 di Penjara Pokok Sena

Hebahkan !!!

KUALA LUMPUR, 17 Okt — Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah menubuhkan Pusat Rawatan Sementara atau Makeshift Treatment Center (MTC) dalam Penjara Pokok Sena, Kedah bagi membendung penularan COVID-19.

Markas Kedua Divisyen Infantri dalam kenyataan malam ini memaklumkan Pasukan B Komp 2 Bn Ubat diatur gerak bagi membantu Jabatan Kesihatan Negeri Kedah dan akan beroperasi pada 20 Okt.

“Pusat ini didirikan bagi memberi rawatan kepada tahanan yang mempunyai jangkitan COVID-19,” menurut kenyataan itu.

Pasukan perubatan itu diketuai Pakar Perubatan Kesihatan Awam Jabatan Perubatan Tentera Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Kolonel (Dr) Mohd Arshil Moideen, Penolong Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan 2 Div, Leftenan Kolonel (Dr) Faira Rosmarina Mohd Rustam dan Pegawai Pemerintah B Komp 2 Bn Ubat Kapten (Dr) Muhammad Asyraf Khairul Hasni.

Pegawai Kementerian Kesihatan Putrajaya turut ditugaskan memberi nasihat teknikal untuk mendirikan pusat rawatan tersebut.

Menurut kenyataan itu, dua pegawai perubatan, lima paramedik dan dua anggota semboyan pasukan  akan diatur gerak sepanjang pengoperasian pusat rawatan tersebut.

“B Komp 2 Bn Ubat telah mengaturgerakkan aset logistik iaitu khemah yang akan digunakan sebagai wad ICU, pusat nyah kuman, ‘donning and doffing station’, khemah pengurusan sisa klinikal, makmal, bilik gerakan dan sistem pancuran untuk petugas serta set generator,” menurut kenyataan itu.

Atur gerak aset dan pegawai serta anggota tentera bagi misi ini akan diletak di bawah pemantauan Panglima 2 Divisyen Mejar Jeneral Datuk Arman Rumaizi Ahmad.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *