NORMAN: “EDRY UMPAMA ‘GAM’… BILA DIA BERHIJRAH KE UK, BERLAKU SEDIKIT KESUKARAN”

Hebahkan !!!

“Edry umpama ‘gam’ untuk melekatkan artis di bawah naungan kami dengan pengurusan. Jadi, bila dia berhijrah ke United Kingdom, saya akui berlaku sedikit kesukaran untuk kami menyusun atur strategi pemasaran dan pengurusan artis.

 

“Setahun pertama, berlaku beberapa kekeliruan. Pada awalnya, kami fikir tidak akan menjadi masalah memandangkan banyak kerja boleh diuruskan secara ‘online’. Namun, tak sama,” ujar Datuk Norman Abdul Halim yang juga Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif KRU Entertainment.

Bagi peminat setia kumpulan KRU yang dianggotai tiga beradik iaitu Norman, Yusry dan Edry, tentunya tidak akan pernah lekang di fikiran akan karya popular mereka.

Namun, selepas membuat keputusan membubarkan kumpulan trio itu dua tahun lalu, peminat mereka perlu menerima hakikat bahawa KRU tidak mungkin bersatu semula.

Klik untuk gambar besar

Penghijrahan Edry ke United Kingdom juga menjadi kehilangan besar buat KRU Entertainment memandangkan industri muzik tanah air juga melihat kepesatan karya ciptaan Edry yang mengisi carta muzik.

Norman berkata, kehilangan itu sangat dirasakan terutama dari segi pengurusan artis yang bernaung di bawah syarikat mereka. Tambah Norman, KRU Entertainment terpaksa menyusun semula proses pemilihan artis baharu dan penghasilan karya muzik mereka.

“Sebelum ini, Edry adalah orang yang bertanggungjawab mencungkil bakat baharu dan menggilap mereka menjadi bintang. Dia juga menjadi antara komposer tersohor tanah air.

“Namun, kini kami perlu susun semuanya dengan cara kerja baharu untuk disesuaikan dengan situasi. Kami juga mula menerima dan bekerjasama dengan komposer luar antaranya Omar K dan beberapa komposer lain untuk menghasilkan karya,” katanya.

Katanya, KRU bukan lagi syarikat peribadi tiga beradik. Bagaimanapun, KRU akan terus menghasilkan karya baharu untuk mengisi kehendak pendengar muzik tanah air.

“Jenama KRU masih ada, cuma bukan lagi syarikat peribadi tiga beradik. Kami kena terima hakikat ini dan bergerak ke depan. Bukan saja dalam bidang muzik, tetapi juga penerbitan filem dan program TV,” katanya.

www.myartis.com / Sumber: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *