Eira Aziera hadapi saman RM2 juta kerana hina fizikal di Facebook Live

Hebahkan !!!
Peguam, Mohd Rasheed Hassan (kanan) bersama anak guamnya, Suharnizan Md Sidek (kiri) selepas menfailkan saman di Johor Bahru, hari ini.
Peguam, Mohd Rasheed Hassan (kanan) bersama anak guamnya, Suharnizan Md Sidek (kiri) selepas menfailkan saman di Johor Bahru, hari ini.

 

JOHOR BAHRU: Seorang personaliti media sosial (influencer) berdepan saman lebih RM2 juta susulan perbuatannya menghina bentuk fizikal seorang wanita menerusi Facebook Live pada 18 Ogos lalu.

Peguam bagi pihak Suharnizan Md Sidek, 37, iaitu Mohd Rasheed Hassan, berkata saman itu difailkan di Mahkamah Tinggi Johor Bahru dan sudah diserahkan kepada pihak personaliti terbabit.

“Hari ini saman sudah didaftar di mahkamah. Petang ini saya sudah terima emel dari tetuan Yahaya Ahmad & Co dari Sungai Petani, Kedah, yang bertindak bagi pihak Eira Aziera atau nama penuhnya adalah Noorazira Pissal, 37.

“Jadi Saman dan Pernyataan Tuntutan akan diserahkan menerusi emel dan kurier kepada peguam Eira (personaliti) dan dalam tempoh 14 hari, kehadiran perlu difailkan.

“Dalam tempoh 14 hari selepas itu, pembelaan perlu difailkan. Tarikh sebutan pertama di Mahkamah Tinggi Johor Bahru adalah pada 11 November depan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mohd Rasheed berkata, sebutan pada 11 November depan itu akan dibuat secara atas talian dengan pendaftar mahkamah dulu sahaja.

Sebelum ini, media melaporkan Suharnizan Md Sidek, yang juga seorang Pesuruhjaya Sumpah, mendakwa personaliti itu mengeluarkan kata-kata kesat termasuk memaparkan gambarnya berserta anaknya tanpa pengetahuan dan kebenaran beliau selepas dia komen di ruangan komen media sosial personaliti terbabit.

Katanya, insiden yang berlaku kira-kira jam 10 pagi, 18 Ogos lalu, dipercayai bermula apabila dia menulis komen ‘live masak, live makan-makan, letak produk kurus, boleh kurus ke?’ menerusi video secara ‘live’ yang dikongsikan rakannya di laman terbabit.

Pada 14 September lalu, pihak Suharnizan dimaklumkan ada satu paparan video dimuatnaik dan dikongsikan di media sosial oleh pentadbir laman FB yang menggunakan nama ‘Makcik Bawang Channel’ dan ‘Makcik Kiah Channel’ dengan kandungan video selama lapan minit memaparkan antara lain menghina rupa fizikalnya sehingga tular mencapai ribuan pautan serta komen.

Susulan itu, laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan, pada 15 September lalu.

Mohd Rasheed memaklumkan, walaupun ada permohonan maaf dibuat secara langsung menerusi Facebook oleh personaliti terbabit, namun isu ‘body shaming’ boleh didakwa mengikut Seksyen 233 (1)(b) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *